Operasi kaunter Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda di sini, dan semua kaunter cawangan zakat seluruh Pulau Pinang akan ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh. FOTO DANIAL SAAD
Operasi kaunter Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda di sini, dan semua kaunter cawangan zakat seluruh Pulau Pinang akan ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Operasi kaunter Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Bandar Perda, di sini, dan semua kaunter pejabat cawangan seluruh negeri akan ditutup sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, penutupan dibuat susulan arahan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi.

Menurutnya, ia berikutan institusi zakat tidak disenaraikan secara spesifik oleh kerajaan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.

"Sebagai langkah pencegahan bagi memutuskan rantaian Covid-19, ZPP akan menutup operasi kaunter ibu pejabat dan semua kaunter cawangan bermula esok hingga 14 Jun ini.

"Tempoh penutupan operasi kaunter ini tertakluk kepada pengumuman terkini situasi semasa negara bagi Fasa Pertama, manakala Fasa Kedua dan Ketiga akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri nanti," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memudahkan masyarakat berhubung dengan ZPP dalam tempoh SPP ini, beberapa talian hotline akan dibuka dan dipaparkan dalam media sosial rasmi ZPP.

"Pembayar zakat yang ingin membayar zakat, boleh berbuat demikian melalui portal zakatpenang2u.com," katanya.

Amran berkata, ZPP sedang meneliti beberapa pakej bantuan zakat bagi membantu mereka yang terkesan akibat pelaksanaan SPP Fasa Pertama.

"Pakej bantuan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui platform media sosial ZPP sedia ada.

"Sebagai makluman, pada tahun lalu, ZPP menyalurkan sebanyak RM15.9 juta bagi pakej bantuan Fasa Pertama dan Dua kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 2:10 PM