GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Zakat Pulau Pinang (ZPP) memberi jaminan proses kelulusan hanya mengambil masa satu hingga dua minggu sekiranya dokumen yang diberikan lengkap.

Ketua Pegawai Eksekutif ZZP, Amran Hazali berkata permohonan dibuat pemandu bas dan pekerja kantin yang pendapatan mereka terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mengambil tempoh yang singkat untuk proses kelulusan.

Menurutnya, walaupun pemandu bas dan pekerja kantin tiada dalam senarai bantuan sebelum ini namun golongan itu tidak sesekali diabaikan pihaknya sebaliknya akan membantu selagi boleh.

"ZPP sebelum ini mewujudkan Skim Bantuan Khas Covid-19 fasa satu dan dua bagi membantu golongan peniaga kecil, penjaja serta asnaf yang terjejas ekoran wabak berkenaan.

"Kali ini apabila dilaksanakan PKPB susulan Covid-19 gelombang ketiga kita dapati pemandu bas dan pekerja kantin sekolah amat memerlukan bantuan yang mana kita akan membantu mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, pemandu bas dan pekerja kantin di negeri ini boleh mendapatkan borang permohonan di tujuh kaunter ZPP kecuali di Masjid Negeri Pulau Pinang berikutan ia ditutup sementara waktu.

"Walaupun PKPB, operasi di tujuh kaunter itu berjalan seperti biasa dari jam 9 pagi hingga 3 petang dan mereka yang benar-benar memerlukan diminta mengambil borong permohonan untuk diisi.

"Pemohon akan menerima bantuan dalam tempoh satu atau dua minggu sekiranya semua dokumen yang diperlukan lengkap," katanya.

Amran berkata, pihaknya tidak sesekali melambatkan bayaran bantuan sekiranya permohonan sudah diluluskan tetapi pemohon perlu mengikut semua syarat ditetapkan supaya proses kelulusan dapat berjalan dengan cepat, sekali gus dapat menikmati sumbangan 'one off' dari ZPP bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Saya belum menerima berapa jumlah pemandu bas dan pekerja kantin yang datang memohon namun dimaklumkan pegawai bahawa sudah ada beberapa permohonan dibuat sejak semalam.

"ZPP juga tidak mewawarkan bantuan untuk kod ini tetapi kami akan bantu sesiapa sahaja yang memerlukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 11:14 AM