AMRAN Hazali menunjukkan tatacara khas pembayaran zakat pada waktu  penularan wabak COVID-19 dalam kaedah konvensional ketika dalam sidang media di ibu pejabat ZPP, Bandar Perda. FOTO DANIAL SAAD
AMRAN Hazali menunjukkan tatacara khas pembayaran zakat pada waktu penularan wabak COVID-19 dalam kaedah konvensional ketika dalam sidang media di ibu pejabat ZPP, Bandar Perda. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


ZAKAT Pulau Pinang (ZPP) membenarkan kaedah bayaran zakat fitrah secara konvensional bagi membantu golongan berusia yang kurang mahir dengan teknologi dan tidak mempunyai akses internet.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Amran Hazali berkata, kaedah itu diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau tatacara khas yang perlu dipatuhi amil dan pembayar bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, ia termasuk penjarakan sosial dan larangan berkumpul bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“ZPP mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk melaksanakan kaedah konvensional bagi bayaran zakat fitrah supaya semua amil dilantik boleh mengikuti garis panduan ini dengan mudah dan efektif.

“Antara lain SOP ini bukan hanya memberi peringatan berguna kepada keadaan kesihatan pembayar zakat, malah memastikan hanya amil yang sihat dibenarkan bertugas dengan mengamalkan jarak satu meter.

“Selain itu, kita turut membekalkan topeng mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman kepada semua amil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat ZPP Bandar Perda, di Bukit Mertajam, hari ini.

Amran berkata, sekiranya PKP dilanjutkan, pengurusan masjid diminta menentukan tempat lain dan masa untuk kutipan zakat fitrah kepada kariah mereka supaya tidak melanggar arahan kerajaan.

Menurutnya, ini berikutan masjid akan ditutup dan tidak dibenarkan untuk melakukan urusan pembayaran zakat fitrah secara konvensional.

“Sebelum ini, kita memberi cadangan kepada pengurusan masjid dengan membuka pusat bayaran zakat fitrah seperti di balai raya, dewan serbaguna atau kaunter sementara pandu lalu.

“Bagaimanapun, ia terserah kepada pihak masjid asalkan tidak mengabaikan soal keselamatan dan kesihatan pembayar zakat serta amil yang bertugas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:57 PM