GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


PRIHATIN dengan golongan asnaf yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengumumkan pakej bantuan khas bagi fasa dua.

Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi ZPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, pakej berkenaan adalah tambahan bantuan yang bakal disalurkan kepada golongan sasaran dan bekerja sepenuh masa.

Katanya, golongan terbabit adalah terdiri daripada pemandu teksi, pemandu khidmat e-hailing dan pekerja harian sepenuh masa.

“Permohonan hanya dibuka menerusi atas talian laman web www.zakatpenang.com bermula hari ini, hingga 5 April.

“Bagi pertanyaan lanjut, pemohon boleh hubungi Team Peduli Asnaf di tempat masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, MAINPP menerusi ZPP juga memperuntukkan sebanyak RM1 juta bantuan kecemasan kepada anak kariahnya yang terputus bekalan makanan sepanjang tempoh PKP dan permohonannya berakhir pada 27 Mac lalu.

Turut diumumkan ialah peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri ini dan pakej berkenaan ialah bantuan khas zakat berjumlah RM3 juta bagi peniaga kecil, gerai tepi jalan dan seumpamanya dengan agihan sebanyak RM500 bagi setiap ketua keluarga.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pemohon perlu mengemukakan permit dan lesen (bagi pemandu teksi dan e-hailing) serta penyata pendapatan terkini bagi mengesahkan permohonan.

Bagi pekerja harian pula perlu mengemukakan surat pengesahan majikan sekiranya ada.

“Bagi tahun ini sejak 1 Januari hingga 27 Mac lalu, jumlah agihan zakat di Pulau Pinang adalah sebanyak RM31,242,647.16 dan jumlah itu meliputi kepelbagaian program yang diatur bagi membantu asnaf.

“Seramai 7,574 penerima terdiri daripada golongan asnaf mendapat manfaat daripada dana zakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 10:34 AM