GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
HM Digital


ZAKAT Pulau Pinang (ZPP) sehingga kini sudah menerima kira-kira 2,000 permohonan daripada penduduk negeri itu bagi mendapatkan sumbangan zakat.

Pemohon berkenaan membabitkan golongan yang terkesan dan tiada pendapatan tetap sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Pengerusi ZPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, sehubungan itu, ZPP akan segera mengagihkan bantuan kewangan kepada mereka yang keputusan bekalan makanan sepanjang tempoh itu.

Namun, katanya, bantuan itu hanya akan disalurkan kepada masjid kariah menerusi maklumat yang diberikan Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah masing-masing dengan syarat yang ditetapkan.

“Pemohon mestilah warga Malaysia dan tidak mempunyai pendapatan tetap sepanjang tempoh PKP.

“Pemohon juga mesti sudah bermastautin di Pulau Pinang selama empat bulan ke atas selain bukan dalam kalangan penerima bantuan kewangan atau makanan bulanan ZPP,” katanya dihubungi, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin turut mengingatkan pemohon bahawa bantuan itu hanya diberi kepada golongan yang benar-benar keputusan bekalan dan tidak menerima bantuan lain daripada ZPP.

Berikutan tempoh PKP, pemohon boleh mengirim maklumat keterangan diri ke [email protected] atau [email protected] sebelum 27 Mac ini.

Antara maklumat yang diperlukan ialah nama ketua keluarga, nombor kad pengenalan pemohon, alamat terkini, nombor telefon, tempoh menetap di Pulau Pinang, status perkahwinan dan bilangan tanggungan.

Terdahulu, ZPP turut mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri ini dan pakej berkenaan ialah bantuan khas zakat berjumlah RM3 juta bagi peniaga kecil, gerai tepi jalan dan seumpamanya dengan agihan RM500 bagi setiap ketua keluarga.

Kedua, sumbangan RM305,600 iaitu RM500 bagi setiap masjid dan RM300 setiap surau bagi kerja pembersihan dan penyahkuman.

Manakala pakej ketiga ialah bantuan sara hidup bulanan yang diberi awal lima hari kepada 3,673 penerima di Pulau Pinang.

Ahmad Zakiyuddin berkata, bantuan sara hidup bulanan juga sudah diagihkan pada 23 Mac lalu dan jika masih ada penerima yang tercicir, mereka boleh menghubungi PTA terdekat.

“ZPP juga sedang mempertimbangkan bantuan kepada golongan kumpulan sasaran lain yang terkesan sepanjang tempoh ini termasuk mereka yang diberhentikan kerja berikutan majikan muflis,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 11:45 PM