MAQIS menahan sebuah kontena yang membawa 28,350 kilogram (kg) bawang merah dari Thailand di Pelabuhan Tanjung Pelepas, kerana label maklumat yang mengelirukan, pagi kelmarin. FOTO Ihsan MAQIS
MAQIS menahan sebuah kontena yang membawa 28,350 kilogram (kg) bawang merah dari Thailand di Pelabuhan Tanjung Pelepas, kerana label maklumat yang mengelirukan, pagi kelmarin. FOTO Ihsan MAQIS
Mohamed Farid Noh

[email protected],my

Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan sebuah kontena yang membawa 28,350 kilogram (kg) bawang merah dari Thailand di Pelabuhan Tanjung Pelepas, kerana label maklumat yang mengelirukan, pagi kelmarin.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim berkata, dalam pemeriksaan rutin oleh Pegawai Penguasa MAQIS di Pelabuhan Tanjung Pelepas jam 11.30 pagi mendapati, kontena berkenaan membawa masuk bawang merah yang dianggarkan bernilai RM251,194.57.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu mengemukakan dokumen yang mengelirukan iaitu maklumat pada dokumen itu adalah berbeza dengan label yang terdapat pada bawang merah berkenaan.

"Kesemua bawang merah berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hizzuan berkata, kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, boleh didenda maksimum RM75,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Katanya, MAQIS menasihatkan supaya semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:48 AM