Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 83.9 tan daging kerbau dari negara India di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor Bahru. FOTO IHSAN MAQIS JOHOR
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 83.9 tan daging kerbau dari negara India di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor Bahru. FOTO IHSAN MAQIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 83.9 tan daging kerbau dari India di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim, berkata tiga kontena yang membawa daging itu ditahan selepas pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 2 petang.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nombor 'seal' pada kontena tidak sama seperti yang dinyatakan dalam dokumen 'bill of lading' yang diikrar.

"Kesemua daging kerbau berkenaan dengan berat kira-kira 83,988 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM1,302,653 (RM1.3 juta) ditahan untuk tindakan lanjut.

"Daging itu dipercayai bagi pasaran Malaysia, selain ejen penghantaran berusia 22 tahun sudah diambil keterangan dan dilepaskan,"katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan kepada Jabatan MAQIS menjadi kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"MAQIS komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 2:05 PM