GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penemuan mayat lelaki tanpa identiti dalam keadaan reput di Sungai Desa Aman, di sini, petang semalam, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan keputusan bedah siasat kira-kira 10 pagi tadi yang mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan oleh objek tumpul.

Beliau berkata, terdapat luka lebam akibat pergelutan atau luka mempertahankan diri pada tangan kanan mangsa selain banyak luka lebam ditemukan pada kepala, dada, perut, tangan kanan, kaki kanan dan kaki kiri mangsa.

"Jenis senjata yang mungkin digunakan untuk membunuh mangsa adalah objek yang tumpul seperti penumbuk, kayu atau rotan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mangsa adalah ahli kongsi gelap Geng 08 berdasarkan corak tatu pada badan.

Beliau berkata, susulan itu empat lelaki berusia antara 26 hingga 37 tahun ditahan selepas keterangan diambil daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai abang kandung mangsa selain berpandukan laporan polis dibuat seorang wanita dipercayai teman wanita mangsa pada 24 Mei lalu.

A Asmadi berkata, lelaki yang mendakwa sebagai abang mangsa itu menyatakan mangsa adalah adiknya berdasarkan tatu bercorak gambar wanita pada bahagian dada kanan semasa hadir di lokasi mayat dijumpai kira-kira jam 6 petang semalam.

"Laporan polis yang dibuat wanita itu menyatakan mangsa dipukul sambil tangannya diikat oleh tiga lelaki sebelum wanita itu dihalau pulang. Bagi kes ini, ia disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (kerana penculikan) dan empat suspek itu ditahan semalam iaitu pada hari yang sama mangsa dijumpai.

"Kesemua suspek direman selama empat hari iaitu sehingga 30 Mei ini. Suspek juga mempunyai lebih daripada dua rekod lampau, iaitu membabitkan rekod jenayah serta dadah," katanya.

Beliau berkata, sampel darah lelaki yang mendakwa sebagai abang mangsa serta ibunya diambil bagi analisa perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

"Selain itu cap jari si mati juga dihantar ke D2 (Bahagian Pendaftaran Rekod Jenayah) Bukit Aman bagi tujuan perbandingan memandangkan dia sebelum ini mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan dengan permohonan reman akan turut dibuat untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan empat lelaki ditahan berhubung penemuan mayat yang hanyut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 6:44 PM