GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penemuan mayat seorang lelaki yang hanyut di Sungai Desa Aman, di sini, petang semalam membawa kepada penahanan empat lelaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, penahanan empat suspek itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan permohonan reman terhadap mereka dilakukan hari ni.

Menurutnya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun dipercayai adalah A Preshna, 40.

"Ia berdasarkan pengecaman awal oleh individu yang mendakwa sebagai abang mangsa berdasarkan tatu pada mayat yang ditemukan itu," katanya.

Katanya, individu yang mengaku sebagai abang mangsa juga memaklumkan teman wanita si mati membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa pada 23 Mei lalu.

"Hasil semakan, kita dapati dalam laporannya wanita itu mendakwa teman lelakinya dilarikan selepas dipukul tiga lelaki. Laporan (dibuat teman wanita) itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

A Asmadi berkata, berdasarkan identiti didakwa abang mangsa, siasatan polis mendapati si mati mempunyai 20 rekod lampau.

Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu hasil laporan bedah siasat untuk menentukan punca kematian dan mengesahkan identiti.

Terdahulu, mayat itu ditemukan hanyut dua individu di kawasan jambatan itu.

Ketika ditemukan, mayat itu hanya memakai seluar jeans namun tidak berbaju dan berkasut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 12:01 PM