POLIS mencari waris wanita bertatu yang ditemukan mati di tasik Sky Ride Festival Park, Presint 2, Ahad lalu.  FOTO ihsan Polis
POLIS mencari waris wanita bertatu yang ditemukan mati di tasik Sky Ride Festival Park, Presint 2, Ahad lalu. FOTO ihsan Polis
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis dalam usaha mengesan waris wanita yang ditemukan mati di tasik berdekatan Sky Ride Festival Park, Presint 2, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat tidak diketahui identiti itu dijumpai terapung pada 6.30 petang di lokasi terbabit.

Menurutnya, wanita itu dianggarkan berketinggian 163 sentimeter dan berat antara 50 hingga 60 kilogram.

Katanya, siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri wanita terbabit.

"Mayat wanita itu ditemukan dengan memakai blazer berwarna hitam, kemeja-T berwarna biru dan mini skirt kain denim berwarna hitam serta tali pinggang jenama Versace.

"Terdapat tatu berbentuk bunga ros warna hitam di bahagian punggung sebelah kiri wanita itu, selain ada suntikan pelalian bacillus calmette–guerin (bcg) dan rubela pada bahu kiri.

"Selain itu, terdapat juga kesan luka dan calar di bahagian pipi dipercayai digigit haiwan liar serta bahagian badan melecet akibat terkena matahari, selain kesan luka diatas kening dipercayai terkena benda tumpul tetapi bukan unsur jenayah," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

TALI PINGGANG jenama Versace dan logo pada pakaian mangsa. FOTO ihsan Polis
TALI PINGGANG jenama Versace dan logo pada pakaian mangsa. FOTO ihsan Polis

Pada 6.30 petang Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan terlihat seakan-akan patung di dalam tasik dan memaklumkan kepada majikan dan beberapa individu untuk membuat pengesahan.

Mayat yang dijumpai dalam keadaan terlentang itu berpakaian lengkap dan keadaan mayat mula mereput.

Barangan milik mangsa yang dijumpai dan masih dipakai adalah tiga bentuk cincin di tangan kanan, jari telunjuk, jari hantu dan jari kelingking, satu gelang tangan perak di pergelangan tangan kanan.

Asmadi berkata, bedah siasat diadakan hari ini bermula 10 pagi hingga 2 petang di Forensik Hospital Kuala Lumpur oleh pakar patologi, Dr Ahmad ShafieAhmad Amran dan siasatan mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada luaran mendapati mayat berada lama di dalam air antara tiga hingga lima hari dan sudah kembung, manakala pemeriksaan organ dalaman hanya tinggal jantung, manakala bahagian organ perut sudah hilang, dipercayai dimakan haiwan ketika berada di dalam air.

Katanya, sampel organ akan di hantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan atau retakan pada mana-mana bahagian tulang mangsa.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi IPD Putrajaya di talian 03-88862145 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hafiza di talian 019-8926572.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 10:08 PM