Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


PUNCA kematian kanak-kanak lelaki yang mayatnya ditemui berhampiran sebuah bengkel kereta di Kampung Chin Lee, Batu 6, Jalan Kepong, Kuala Lumpur, semalam, disebabkan hentakan objek tumpul pada kepala sehingga menyebabkan tempurung kepala retak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Md Isa berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.

Menurutnya, kecederaan lain yang ditemui ialah kesan lebam di kedua kaki dan tangan dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

"Mangsa yang berusia empat ke lima tahun dianggarkan sudah meninggal dunia antara 10 hingga 14 hari.

"Seorang saksi hadir ke hospital untuk membuat pengecaman tetapi keadaan mayat yang reput menyukarkan proses itu. Namun, contoh DNA saksi sudah diambil untuk perbandingan dengan mangsa," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mayat kanak-kanak lelaki yang disumbat dalam plastik hitam itu ditemui dalam keadaan berulat dengan sebelah kakinya terjulur keluar berhampiran sebuah bengkel kereta oleh seorang pekerja premis besi buruk ketika membersihkan longkang di kawasan itu.

Mayat kanak-kanak itu masih lengkap berpakaian selain turut dipakaikan lampin pakai buang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 4:56 PM