Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis giat mengesan dua lelaki yang masih bebas berhubung kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya dijumpai hanyut di Sungai Kinta berdekatan Taman Desa Aman, di Pasir Puteh, di sini, pada 26 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, individu berkenaan adalah Harjit Singh Terlok Singh atau dikenali sebagai Kishen, 25, yang beralamat di Menglembu, di sini.

Katanya, seorang lagi suspek yang masih bebas adalah Muralitharan Muniandy atau nama panggilannya Murali, 23, yang beralamat di Tanjung Rambutan di sini.

"Sesiapa yang mengenali dan mempunyai maklumat berkenaan dua suspek ini diminta berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Shamrul Harun di talian 019-5000739 atau 05-2451592," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Beliau berkata, bagaimanapun dua suspek berkenaan akan didakwa bersama lima lagi suspek yang sudah ditangkap, di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) berhubung pembunuhan itu.

Katanya, seorang suspek lain dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

A Asmadi berkata, pihaknya sebelum ini berjaya menangkap enam lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun pada 30 Mei lalu yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

Beliau berkata, kesemua suspek juga mempunyai pelbagai rekod lampau.

Katanya, hasil siasatan mendedahkan mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun dilarikan serta dipukul oleh lima individu yang ditahan bersama dua suspek masih bebas terbabit.

"Berdasarkan semakan polis, identiti si mati dikenal pasti bersangkutan kes seorang lelaki berumur 40 tahun yang dilarikan sekumpulan individu pada 24 Mei lalu di Pekan Bharu yang mana kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 KK kerana melarikan orang," katanya.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat lelaki tanpa identiti dalam keadaan reput yang dihanyutkan arus sungai pada 26 Mei lalu.

Dia dipercayai dibunuh berdasarkan kecederaan luka serta lebam pada beberapa bahagian tubuhnya dipercayai disebabkan pukulan objek tumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:29 AM