FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuantan: Mayat seorang daripada dua sekeluarga yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Pahang, petang semalam, ditemukan di dasar sungai itu, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mayat Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, ditemukan pada 10.33 pagi oleh Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

"Mayat mangsa ditemukan di dalam sungai kira-kira 35 meter dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Dalam kejadian di Kampung Loyang di Sanggang, Temerloh kira-kira 141 kilometer dari sini, Mohammad Naufal Farhan dikatakan dihanyutkan arus ketika mandi, sebelum bapa saudaranya Mohd Hakim Faqih Norazmi, 16, menyedari kejadian itu dan cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan, namun dia turut dihanyutkan arus.

Kedua-dua mangsa difahamkan ke sungai itu bersama-sama tiga lagi anggota keluarga pada 4.15 petang semalam untuk mandi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat Mohd Hakim Faqih diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian meliputi dua kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi yang ditangguhkan pada 7.30 malam tadi bersambung pada 8 pagi hari ini membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dan dibantu PPDA Bukit Angin.

Berita berkaitan

'Dua sepupu dikhuatiri lemas dihanyut arus'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 2:07 PM