OPERASI mencari dan menyelamat akan disambung esok. FOTO Ihsan Bomba
OPERASI mencari dan menyelamat akan disambung esok. FOTO Ihsan Bomba
T. N. Alagesh


Bera: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan rakannya berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong, di sini, hari ini.

Kedua-duanya mangsa adalah antara lapan kanak-kanak lelaki yang pergi berenang di sungai itu kira-kira jam 3.30 petang.

Pemangku ketua polis daerah Deputi Superintendan N. Kumaran berkata siasatan mendapati kumpulan pelajar lelaki sekolah itu pergi ke sungai yang terletak di belakang pasar basah Kerayong.

"Ada yang berada di tebing sungai, yang lain termasuk dua mangsa berenang ke tengah sungai. Mereka berpegang pada tiub tayar lori untuk terus terapung.

"Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu dipercayai hilang cengkaman pada tiub itu sebelum dihanyutkan arus sungai. Rakan mereka menjerit meminta tolong dan memaklumkan kepada beberapa orang yang lalu-lalang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kumaran berkata, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang hilang itu bermula jam 5 petang sebelum tamat kira-kira dua jam kemudian apabila kawasan itu menjadi gelap dan akan disambung semula pagi esok.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 petang sebelum pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata enam penyelam dari unit Penyelamat Air Bukit Angin di Temerloh bersama enam anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan empat anggota polis turut menyertai operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 9:06 PM