Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Saya nampak dia hanyut dan menjerit meminta tolong," kata Mohd Syawal Rozali, 13, saksi insiden kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di dalam Sungai Chepor dekat Kampung Chepor Dalam, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry, 10, dipercayai terjun ke dalam sungai untuk membantu untuk mengambil selipar rakannya yang terjatuh di dalam sungai.

Mohd Syawal berkata, dia secara kebetulan melalui jambatan di situ dan terserempak dengan mangsa bersama empat rakannya mahu mandi di sungai berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian seorang daripada mereka turun ke dalam sungai untuk mengambil selipar yang terjatuh.

"Saya melihat sendiri mangsa terjun ke dalam sungai untuk membantu, dan rakannya berjaya naik ke tebing, tetapi mangsa terus dihanyutkan air.

"Selepas hanyut, saya nampak dia cuba berpaut pada pokok di tebing sungai dan menjerit-jerit minta tolong," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, dia yang menyaksikan kejadian itu terus berlari dan cuba meminta bantuan kepada orang ramai.

"Saya cuba hendak membantu untuk turun berenang, tetapi ketika itu air agak deras, jadi saya berlari pergi minta pertolongan. Bagaimanapun, apabila kembali semula mendapati dia sudah hilang," katanya.

IBU mangsa, Maizatul Nadia kelihatan sedih berikutan anaknya berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di dalam Sungai Chepor, Kampung Chepor Dalam. FOTO Sharul Hafiz Zam
IBU mangsa, Maizatul Nadia kelihatan sedih berikutan anaknya berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di dalam Sungai Chepor, Kampung Chepor Dalam. FOTO Sharul Hafiz Zam

Ibu bapa mangsa turut berada di lokasi kejadian menunggu pasukan penyelamat melakukan operasi mencari anaknya, malah ibunya dilihat memanggil-manggil nama anaknya sambil menangis.

Sementara itu, ibu mangsa Maizatul Nadia Zulkifli berkata, dia mengetahui kejadian lalu terus ke lokasi.

Katanya, Muhammad Deniss adalah anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal di rumah datuknya berdekatan kampung itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan walaupun berdepan dengan cabaran.

"Operasi petang ini masih diteruskan, namun berdepan cabaran kerana sungai berarus deras dan kita mendapati cuaca tidak menentu dan hujan di kawasan hulu.

"Anggota bomba turut menjalankan operasi SAR di bawah kawasan empangan yang berada kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di dalam Sungai Chepor dekat Kampung Chepor Dalam, di sini.

Berita berkaitan

Budak hilang dihanyutkan arus

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:13 PM