ANGGOTA bomba melakukan pencarian di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba melakukan pencarian di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang daripada dua mangsa yang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong, Bera, Pahang, semalam, ditemukan malam ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, ditemukan pada jarak 100 meter dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

"Mangsa didapati timbul di lokasi 100 meter dia kali terakhir dia dilihat dan 400 meter dari lokasi remaja lelaki berkenaan terjatuh jam 10.30 malam tadi.

"Dua anggota bomba dan seorang anggota polis mengambil mangsa menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (Op Sar) bagi mencari seorang lagi mangsa, Muhammad Danial Irsyad Norazlan berusia 11 tahun ditangguhkan dan akan disambung semula, esok.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pihak bomba melakukan pencarian tiga kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat dengan menggunakan bot di sepanjang laluan berkenaan.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan rakannya berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong, Bera, Pahang.

Kedua-duanya mangsa adalah antara lapan kanak-kanak lelaki yang pergi berenang di sungai itu kira-kira jam 3.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan N Kumaran dipetik berkata, siasatan mendapati kumpulan pelajar lelaki sekolah itu pergi ke sungai yang terletak di belakang pasar basah Kerayong.

"Ada yang berada di tebing sungai yang lain termasuk dua mangsa berenang ke tengah sungai. Mereka berpegang pada tiub tayar lori untuk terus terapung.

"Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu dipercayai hilang cengkaman pada tiub itu sebelum dihanyutkan arus sungai. Rakan mereka menjerit meminta tolong dan memaklumkan kepada beberapa orang yang lalu-lalang," katanya.

Berita berkaitan

Jumpa pelampung dipercayai diguna mangsa

Remaja, kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Triang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 11:56 PM