Antara Pati yang ditahan dalam satu operasi khas di Mersing, hari ini. FOTO IHSAN JIM JOHOR
Antara Pati yang ditahan dalam satu operasi khas di Mersing, hari ini. FOTO IHSAN JIM JOHOR
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Melarikan diri ke ladang kelapa sawit dan bersembunyi di bawah katil antara cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (Pati) mengelak daripada dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi khas di Mersing, hari ini.

Ops Sapu yang dijalankan antara jam 2.20 pagi hingga 4 pagi itu adalah hasil risikan bersama dan perkongsian maklumat oleh polis mengenai aktiviti warga asing yang mendalangi sindiket penyeludupan Pati.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pemantauan selama empat jam di lokasi yang terletak di sebuah kawasan ladang kelapa sawit dan dijadikan tempat penampungan atau transit akiviti penyeludupan Pati itu berjaya menahan lima lelaki warga Indonesia.

"Ketika hendak ditahan, mereka cuba melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit dan ada yang bersembunyi di bawah katil.

"Kelima-lima mereka ditahan di sebuah rumah pekerja ladang yang dipercayai dijadikan rumah transit bagi kegiatan penyeludupan," katanya ketika sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika di sini, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyeludup masuk Pati ke negara ini melalui laluan haram di perairan Johor.

Katanya, bayaran yang dikenakan oleh sindiket itu adalah sebanyak RM3,000 untuk setiap orang dan RM100 dikenakan untuk penghantaran ke rumah transit berkenaan sebelum dihantar ke lokasi-lokasi lain.

Menurut beliau, semua Pati berusia antara 21 hingga 49 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

"Seorang daripada mereka yang dipercayai bekerja di ladang berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 55E akta sama kerana membenarkan Pati untuk berada di dalam premis," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:13 PM