Amir Abd Hamid


Sepang: Keperluan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan penularan Covid-19 diterima dengan reda masyarakat khususnya umat Islam yang menyambut Hari Raya hari ini walaupun ramai sedih kerana gagal menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau seluruh negara.

Tinjauan Harian Metro di Surau Al-Hijrah, Kota Warisan, di sini, mendapati ramai yang terpaksa berlalu pulang kecewa sebab kuota 50 jemaah habis sekelip mata.

Pengerusi Surau Al-Hijrah, Kota Warisan Hasbullah Mat berkata, dia sudah pun memberikan taklimat kepada jemaah sepanjang beberapa hari lalu untuk memaklumkan mengenai peraturan dan SOP untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

"Bersyukur tahun ini dapat melaksanakan solat sunat Aidilfitri walaupun dengan bilangan hanya 50 orang. Saya sudah memberikan maklumat kepada jemaah supaya bersiap-sedia.

"Selepas solat Subuh tadi kita tidak membenarkan jemaah berada di surau untuk menunggu masa menunaikan solat sunat Aidilfitri sehingga pagar dibuka semula pada 7.15 pagi.

"Namun, sambutan begitu hangat, dalam tempoh antara 10 minit hingga 15 minit sahaja, kuota untuk 50 jemaah sudah penuh berkonsepkan siapa cepat dia dapat," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata, situasi itu tidak menghairankan memandangkan jemaah tidak dapat melakukan solat sunat Aidilfitri di surau atau masjid tahun lalu.

Apa pun, katanya, semua berdoa kepada Allah SWT supaya virus Covid-19 dapat dihapuskan dari bumi supaya rakyat dapat menjalani hidup seperti biasa.

Jemaah, Zainuddin Mohamed, 46, dari Jalan Warisan Megah, Kota Warisan berkata, dia menunggu sejak 6.50 pagi untuk mendapatkan slot solat.

"Saya dapat giliran nombor 16. Alhamdulillah pada tahun ini saya dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Al-Hijrah Kota Warisan tahun ini.

"Tahun lalu saya solat di rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0. Tahun depan harapan kami terutamanya penduduk supaya semua dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri seperti sedia kala," katanya.

Pengurus di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu juga berharap tahun depan dapat balik kampung ke Kelantan bersama isteri Rosmawati Abdullah, 41, dan lima anak mereka.

Sementara itu, Imam Muhammad Hafidz Abd Rani yang menguruskan amil zakat fitrah berkata, tahun ini tiada kesesakan di kaunter zakat fitrah pada pagi 1 Syawal.

"Trend tahun ini lebih ramai yang mula bayar awal zakat fitrah supaya tidak tergesa-gesa. Walaupun pagi ini kutipan agak perlahan namun secara keseluruhan hasil kutipan zakat fitrah meningkat sebab orang sudah bayar awal," katanya.

Selepas PKP 1.0 tahun 2020, Aidilfitri tahun ini adalah yang kedua umat Islam menyambut lebaran dalam norma baharu, akur PKP 3.0 dalam usaha semua memutuskan rantai penularan virus Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 10:23 AM