FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Ruwaida Md Zain


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan sebarang transaksi pembayaran zakat fitrah di semua masjid dan surau di Selangor, pada pagi Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan ini bagi memastikan tiada orang awam berada di sekitar atau di ruang solat masjid dan surau ketika solat sunat Aidilfitri berjalan kecuali pegawai yang ditetapkan oleh JAIS.

"Ketetapan ini sebagai langkah dan usaha bagi mengawal sebarang kejadian yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

"Ini berikutan trend masyarakat Islam sebelum ini yang bersesak-sesak menunaikan zakat fitrah di saat akhir pada pagi Hari Raya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan, di Shah Alam, hari ini.

Sehubungan itu katanya, umat Islam yang dikira wajib membayar zakat fitrah hendaklah melunaskan kewajipan masing-masing dengan kadar segera.

"Bayaran zakat fitrah boleh dibuat sama ada secara dalam talian (online) atau melalui amil dilantik, di lokasi dan pada waktu yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi LZS untuk mengenal pasti cawangan LZS berhampiran atau kaedah untuk melunaskan bayaran zakat fitrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 9:08 AM