FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Setelah hampir sebulan berpuasa di bulan Ramadan selain meningkatkan segala amal ibadat, maka tibalah Hari Raya Aidilfitri yang pastinya disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh umat Islam.

Hanya cara orang Islam menyambut Aidilfitri berbeza mengikut adat dan budaya setempat. Bagaimanapun, ia pasti didasarkan kepada ajaran al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Secara asasnya, Aidilfitri dalam Islam adalah ibadah yang tidak hanya memenuhi tuntutan naluri untuk bergembira semata-mata. Ia adalah satu bentuk ketaatan hamba kepada Allah SWT dengan terus membesarkan Allah SWT setelah sebulan beribadat dengan penuh tekun demi mengejar ganjaran besar yang disediakan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al- Baqarah, ayat 185)

Ini bermakna, pada hari raya sekalipun seorang Muslim tetap mengutamakan ketaatan kepada Allah SWT. Sepanjang Ramadan dia telah menumpukan seluruh jiwa dan raga supaya menjauhi larangan Allah SWT. Bahkan, ibadah pertama yang dianjurkan oleh agama Islam pada hari raya ialah amalan bertakbir iaitu lafaz bertasbih, memuji Allah SWT dan mengagungkan kebesaran-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah SWT: Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (Lailahaillallah) dah Takbir (Allahu Akbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu." (Hadis Riwayat Muslim)

Lafaz-lafaz dan ungkapan dalam takbir hari raya juga adalah ucapan yang disukai oleh Allah SWT berdasarkan keumuman hadis itu. Begitu juga umat Islam disunatkan melakukannya tanpa mengira waktu dan tempat bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan sehingga imam mengangkat takbiratul ihram menunaikan solat Aidilfitri.

Seterusnya pada pagi hari raya disunatkan menunaikan solat sunat hari raya. Biasanya di beberapa negara dilaksanakan di masjid, di tempat luas seperti padang atau tanah lapang. Berdasarkan sunah Rasulullah SAW, perkara pertama yang dimulakan Rasulullah SAW pada pagi hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha ialah solat yang mana mengerjakannya adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut). Seterusnya, ia juga disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya, atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sebelum menunaikan solat hari raya, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah. Kewajipan membayar zakat fitrah ke atas umat Islam telah termaktub dalam nas-nas syarak. Abdullah ibnu Umar meriwayatkan hadis yang bermaksud: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada orang yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam." (Hadis Riwayat Bukhari)

Antara syarat diwajibkan bagi umat Islam membayar zakat apabila seseorang itu hidup pada bulan Ramadan dan sempat melalui malam satu Syawal. Imam al-Nawawi menjelaskan diwajibkan mengeluarkan zakat setelah terbenamnya matahari dan masuknya sebahagian malam Aidilfitri. Jika seseorang itu meninggal dunia setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka kewajipan zakat fitrah pada si mati tidak gugur, namun pelaksanaannya wajib diuruskan oleh warisnya.

Manakala, bagi umat Islam yang meninggal sebelum terbenamnya matahari pada akhir Ramadan maka tidak diwajibkan zakat fitrah.

Ketiga-ketiga perkara di atas (takbir raya, zakat fitrah dan solat sunat hari raya) adalah ibadah utama umat Islam ketika menyambut Aidilfitri dan Aidiladha. Ibadah ini sepatutnya menjadi keutamaan umat Islam kerana ia kemuncak ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan. Malah, semuanya menjadi pengukuh hubungan seorang Muslim dengan Allah SWT. Seterusnya, dia akan mengukuhkan pula hubungan secama Islam dan manusia lain dengan pelbagai amalan yang sangat dituntut dalam Islam.

Menjadi kebiasaan orang Malaysia apabila tibanya hari raya ialah berkumpul bersama ahli keluarga. Biasanya mereka berkumpul di rumah ibu bapa jika mereka masih hidup. Ataupun berkumpul di rumah seseorang yang menjadi ketua kepada adik-beradik bagi ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Amalan ini mungkin bersifat tradisi, tetapi ada asas yang kuat dalam Islam.

Tegasnya, amalan dan tradisi yang baik harus dikekalkan, bahkan diperkukuhkan lagi terutama dalam dunia moden yang banyak menjarakkan hubungan antara ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan taulan. Janganlah jadikan kemodenan dunia hari ini pemisah antara sesama Muslim terutamanya ahli keluarga pada Aidilfitri ini.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 6:30 AM