AMIL zakat (kiri) mengaminkan doa selepas menerima pembayaran zakat fitrah daripada seorang jemaah ketika tinjauan di Masjid Sirajul Islam hari ini. FOTO Bernama
AMIL zakat (kiri) mengaminkan doa selepas menerima pembayaran zakat fitrah daripada seorang jemaah ketika tinjauan di Masjid Sirajul Islam hari ini. FOTO Bernama
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

DALAM bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa. Di samping kewajipan berpuasa, terdapat banyak amalan sunat yang dianjurkan untuk dilakukan, misalnya solat tarawih, berzikir, tadarus al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Setelah genap sebulan berpuasa, umat Islam di seluruh dunia merayakan hari kemenangannya iaitu Aidilfitri. Sebelum itu, terdapat satu lagi kewajipan yang wajib dilaksanakan sebelum tibanya Aidilfitri, iaitu kewajipan membayar zakat fitrah.

Zakat fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim setelah berakhirnya bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Ia telah difardukan dua hari sebelum hari raya pada tahun kedua hijrah, iaitu pada tahun yang sama mula difardukan kewajipan puasa Ramadan.

Kefarduan zakat fitrah ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn 'Umar yang bermaksud, "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, iaitu segantang kurma atau segantang gandum (pada bulan Ramadan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan." (Riwayat al-Bukhari, hadis no 1443 dan Muslim, hadis no 984)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-60 yang bersidang pada 23 Oktober 2003 telah bermuzakarah mengenai zakat fitrah. Hasilnya, muzakarah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah adalah wajib bagi setiap umat Islam sekiranya cukup syarat-syarat wajib zakat fitrah iaitu:

Pertama, individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam atau pagi hari raya; kedua, anak yang lahir sebelum mahatari jatuh pada hari terakhir bulan Ramadan dan hidup selepas matahari terbenam; ketiga, memeluk Islam sebelum matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya; dan keempat, seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.

Jelas di sini bahawa kewajipan zakat fitrah ini meliputi semua lapisan umat Islam, baik yang baru dilahirkan mahupun yang sudah tua.

Selain itu, kewajipan membayar Zakat Fitrah ini tidaklah hanya bagi orang kaya dan berkemampuan sahaja.

Ia juga diwajibkan ke atas semua orang yang tidak dikategorikan sebagai kaya, yang ketika hampir menjelang Aidilfitri mereka memiliki kelebihan makanan di samping keperluan untuk diri dan keluarga.

Dengan demikian, umat Islam yang tidak dikategorikan sebagai kaya dapat berlatih untuk membiasakan diri memberi dan berkorban untuk saudaranya yang tidak mampu.

Bagi mencapai tujuan tersebut, dalam pelaksanaan zakat fitrah pada masa kini, misalnya Fatwa Negeri Pulau Pinang menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2022 yang lalu berdasarkan jenis makanan asasi (iaitu beras) yang dimakan oleh penduduk di Pulau Pinang khususnya.

Kadar bayaran akan berubah mengikut harga beras pada tahun harga semasa.

Sebenarnya, antara sifat orang yang bertakwa adalah bersedia membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT, baik dalam keadaan senang mahupun susah. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah." (Surah Ali 'Imran ayat 133-134).

Rasulullah SAW juga memerintahkan supaya membayar zakat fitrah sebelum umat Islam keluar ke tempat solat sunat Aidilfitri.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A katanya yang bermaksud, "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan sia-sia (al-laghw) dan ucapan yang kotor (al-rafas), dan juga sebagai hidangan bagi orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat sunat Aidilfitri, zakatnya tersebut diterima.

Namun, bagi sesiapa yang menunaikan sesudah solat sunat Aidilfitri, nilainya hanya sebagai salah satu sedekah daripada sedekah-sedekah (tidak dikira sebagai zakat fitrah)." (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Sebenarnya, adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dalam tempoh sepanjang Ramadan.

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam al-Syafi'i dan Imam Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan, manakala Imam Abu Hanifah pula menyatakan, ia menjadi wajib setelah terbit fajar satu Syawal. Waktu yang paling afdal untuk mengeluarkan zakat fitrah adalah pada pagi sebelum solat sunat Aidilfitri. Jika dikhuatiri terlupa, eloklah dibayar beberapa hari sebelum menjelang hari perayaan.

ada zaman Rasulullah SAW, bayaran zakat fitrah dibuat dengan makanan asasi yang sesuai, seperti kurma atau barli. Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri R.A, katanya yang bermaksud, "Kami mengeluarkan zakat fitrah berupa segantang makanan atau segantang barli atau segantang kurma atau segantang keju atau segantang kismis." (Riwayat al-Bukhari, hadis no 1506)

Ini adalah hukum asal, tetapi para ulama muta'akhirin (kontemporari) telah menqiyaskan kepada qimah atau nilai, bahkan ini telah diamalkan oleh semua Pusat Zakat Malaysia atau Majlis Agama Islam.

Walaupun 20 tahun lepas atau lebih, zakat fitrah dibayar dengan menggunakan beras yang dibawa kepada amil.

Ia berdasarkan Mazhab Hanafi dan ia amat relevan pada masa kini serta maslahat kepada pemberi zakat dan penerima zakat.

Mufti Mesir Dr Syauqi Ibrahim Abdul Karim 'Allam (Mufti Besar Mesir sejak 11 Februari 2013) dalam jawapannya berpendapat harus mengeluarkan zakat fitrah dengan mata wang.

Hal ini sebagai ganti kepada gandum atau sya'ir (barli) bagi memberi kemudahan kepada fakir miskin dalam menunaikan hajat mereka.

Sebenarnya di Malaysia, kaedah bayaran zakat fitrah dengan wang tunai tidaklah menimbulkan sebarang masalah dan pertikaian.

Bayaran zakat dengan wang tunai telah dipraktikkan secara meluas di seluruh Malaysia, malah ia memudahkan para pembayar dan penerima zakat.

Dalam persoalan ini, perkara yang lebih penting ialah tentang semangat melaksanakan kefarduan zakat fitrah itu sendiri yang mesti dipenuhi.

Hikmah zakat fitrah selain menampal kekurangan atau kecacatan yang terdapat pada ibadah puasa yang kita lakukan sepanjang Ramadan ialah mencegah golongan fakir miskin daripada meminta-minta pada hari raya. Matlamat utama zakat fitrah adalah untuk memberi keselesaan ekonomi kepada golongan miskin untuk mereka menyambut Aidilfitri.

Matlamat ini dapat dipenuhi dengan bayaran zakat fitrah dan seterusnya mengeratkan hubungan kasih sayang sesama umat Islam.

Selain itu juga, hikmah kefarduan zakat fitrah ini sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT kerana memberi peluang untuk kita menyempurnakan puasa Ramadan dan bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan cukup setahun dalam keadaan selamat.

Kesimpulannya, zakat fitrah merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap Muslim. Ia dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan dengan tujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka.

Bayaran zakat fitrah tersebut dapat digunakan bagi membantu para asnaf membuat persiapan menyambul Aidilfitri.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 5:59 AM