ZULKIFLI  (tengah)  menghadiri  program  sumbangan  daripada  TNB dan Petronas. FOTO ihsan Pejabat  Menteri
ZULKIFLI (tengah) menghadiri program sumbangan daripada TNB dan Petronas. FOTO ihsan Pejabat Menteri
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini menerima sumbangan daripada syarikat Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk program MyHaus.

Sumbangan disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk DrZulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata, TNB bersetuju menyumbang RM1.26 juta kepada Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (JAWHAR) bagi membaikpulih 36 rumah asnaf di seluruh negara, manakala PETRONAS menyumbang RM100,000 bagi membaikpulih tiga rumah asnaf di Terengganu dan RM20,000 untuk tabung Musa'adah Covid-19.

Katanya, Petronas akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu bagi membaikpulih rumah asnaf berkenaan.

"Rumah adalah elemen penting bagi sesebuah keluarga dan saya mengharapkan program MyHAUS ini dapat memberikan sinar baharu kepada asnaf di seluruh negara bagi mendapatkan kediaman yang lebih selesa," katanya melalui satu kenyataan media.

Program MyHAUS adalah inisiatif kerajaan melalui agensi agama bawah JAWHAR bagi membaikpulih dan membina semula rumah melalui pemberian skim bantuan kepada asnaf yang berkelayakan.

Ia dilakukan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, Agensi Mengurus Zakat Negeri dan syarikat-syarikat GLC.

Zulkifli berkata, sepanjang tahun lalu JAWHAR dengan kerjasama Yayasan Taqwa-MAIWP, Tabung Haji dan Yayasan Pembamgunan EkonomiIslamMalaysia (YaPEIM ) menjelajah ke 12 negeri bagi menjayakan program MyHAUS dan tahun ini YaPEIM komited menyalurkan sumbangan bagi 11 negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 3:42 PM