Oleh Muhamad Lokman Khairi


Taiping: "Selepas 21 tahun menyewa, Alhamdulillah akhirnya kami dapat rasa tinggal di rumah sendiri," luah Norazman Yanghazali, 49, penerima manfaat Program Inspirasiku MyHAUS di Jalan Batu Matang, Kampung Simpang di sini, hari ini.

Norazman berkata dia dan isteri Masitah Abdullah Sani, 51, berniaga menjual makanan dari pagi hingga tengah hari dengan pendapatan bulanan sekitar RM900 bagi menyara dua anak termasuk anak sulung yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Katanya, memikirkan keselesaan hidup untuk kedua-dua anaknya yang berusia 20 dan 16 tahun itu, dia memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perak (MAIPk) untuk membina rumah di tanah miliknya itu.

MAIPk kemudiannya bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan rumah baharu jenis tiga bilik dan berkeluasan 680 kaki persegi bernilai RM61,200 yang siap sepenuhnya awal tahun ini.

"Kami sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kepada MAIPk dan YaPEIM kerana membantu kami, besar ertinya rumah ini kepada kami empat beranak," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah melalui Program Inspirasiku MyHAUS YaPIEM yang diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah YaPIEM, Ameer Ali Vale Mohamed.

Selain bantuan rumah, Norazman juga menerima bantuan tambahan daripada pihak MAIPK bernilai RM5,200 dan Pakej Bantuan Lestari Perniagaan bernilai RM3,000 inisiatif Inspirasiku MyHAUS YaPIEM.

Sementara itu, Mohd Na'im memaklumkan YaPEIM melalui Program Inspirasi MyHAUS sudah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM6juta membabitkan 155 buah projek bina baru dan baik pulih kediaman di seluruh negara dengan memanfaatkan 604 isi rumah.

"Bagi tahun 2023 sahaja YaPEIM memperuntukkan RM5 juta bagi proses pembinaan dan baik pulih rumah.

"Kerajaan Perpaduan sentiasa komited dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar melalui usaha agensi-agensi di bawahnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya turut menyerahkan bantuan Sinar Kasih dan Inspirasi Prihatin YaPEIM berjumlah RM7,700 kepada empat beradik yatim piatu di Kampung Serkai Jadi, Tronoh, Batu Gajah.

"Mereka kehilangan ibu bapa akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu di Gopeng pada 10 Julai lalu.

"Moga bantuan ini dapat membantu meringankan beban Nur Fatin Syafika Mohd Ramddan, 18, Muhammad Ikhman Hafifi, 17, Muhammad Aiman Dania, 13, dan Nur Fatihah Najihah, 7," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 4:39 PM
Mohd Na'im (tengah) menyerahkan Pakej Bantuan Lestari Perniagaan bernilai RM3,000 inisiatif Inspirasiku MyHAUS YaPIEM kepada Norazman (berbaju kuning, dua kanan). FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Mohd Na'im (tengah) menyerahkan Pakej Bantuan Lestari Perniagaan bernilai RM3,000 inisiatif Inspirasiku MyHAUS YaPIEM kepada Norazman (berbaju kuning, dua kanan). FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI