Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Susulan pandemik Covid-19, kira-kira 2,000 keluarga membabitkan sekitar 4,000 warga Somalia di negara ini turut terjejas.

Menyedari hakikat supaya tiada golongan tertinggal dalam menerima bantuan, keluarga itu turut menerima sumbangan pek makanan keseluruhannya bernilai RM200,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menyampaikan sumbangan kepada wakil 30 keluarga Somalia dengan simbolik penyerahan menerusi program Musa'adah Covid-19 Somalia.

"Kami dari agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) amat prihatin terhadap segala permasalahan yang dibangkitkan membabitkan warga Somalia yang berada di Malaysia termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Insya-Allah, saya bersama agensi berkenaan akan membantu mudahkan segala urusan itu.

"Sebagai permulaan kepada penyelesaian permasalahan dibangkitkan warga Somalia, Alhamdulillah, saya dan sahabat agensi agama di bawah JPM mengambil inisiatif menyediakan pek makanan keperluan untuk diagihkan kepada mereka," katanya dalam ucapan pada program itu di Masjid Salahuddin al-Ayubbi Taman Melati, di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil Kedutaan Republik Somalia di Malaysia, Abdimajit Mohamed Osman.

DR Zulkifli, gambar fail. FOTO Bernama
DR Zulkifli, gambar fail. FOTO Bernama

Sumbangan berkenaan hasil kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar), Tabung Haji (TH), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Seramai 30 wakil warga Somalia menerima sumbangan sebagai simbolik iaitu 10 penerima di Masjid Salahuddin al-Ayubbi, 10 penerima di Masjid Zaid bin Haritsah dan 10 penerima di Masjid Saab bin Abi Waqas.

Zulkifli berkata, menerusi kerjasama rapat Yayasan Waqaf Malaysia dengan Pejabat Kedutaan Republik Somalia, baki penyampaian sumbangan akan diuruskan secara bersama.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua agensi agama di JPM yang sentiasa cakna terhadap kesusahan yang dialami oleh pelbagai pihak dalam tempoh pandemik ini.

"Insya-Allah, kami akan sentiasa ada untuk menyantuni dan membantu semua golongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 12:07 PM