Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Kerajaan menggunakan pelbagai medium untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dijayakan sepenuhnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, program itu digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi melalui pelbagai medium seperti media sosial dan arus perdana bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang sengaja ditimbulkan oleh golongan anti vaksin.

Menurutnya, pada masa sama agensi di bawah kementeriannya seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang bergandingan dengan jabatan lain turut turun ke lapangan memberi penerangan secara terperinci berkenaan kepentingan vaksin terbabit dalam membantu mengekang penularan Covid-19.

"Apabila kerajaan membincangkan soal vaksin ini, banyak teori yang mempertikaikan soal kehalalan vaksin tetapi ia sudah selesai dan diputuskan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

"Semua mufti seluruh negara termasuk pakar Islam, perundangan dan perubatan memutuskan bahawa imunisasi vaksin Covid-19 harus diteruskan bagi menangani wabak penyakit daripada terus menular dan membimbangkan negara ini.

"Sewajarnya, apabila kerajaan mengumumkan program ini, rakyat seharusnya memberi sokongan sepenuhnya dan bagi golongan anti vaksin atau mereka yang menolak untuk mengambil vaksin, kita (kerajaan) tidak boleh paksa," katanya.

Beliau ditemui ketika sidang media selepas majlis penyerahan surat pengesahan penerima manfaat Program Inspirasiku MyH.A.U.S melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Kelantan di Kampung Baru, Bukit Gading di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, Program Inspirasiku MyH.A.U.S dilakukan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (Jawhar) serta Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dalam membantu menyiapkan rumah golongan asnaf terpilih serta mereka yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup.

"Hari ini, sejumlah RM40,000 disumbangkan untuk menyiapkan pembinaan rumah, manakala RM10,000 lagi diberi untuk penerima memulakan perniagaan supaya dapat menjana pendapatan lebih baik kelak.

"Inisiatif ini membabitkan warganegara dan pemastautin di Malaysia iaitu mereka yang didaftarkan dalam Pangkalan Data Kemiskinan (PDK) dan Pangkalan Data Golongan Kurang Bernasib Baik (PDKBB)," katanya.

FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 4:51 PM