Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Ameer Ali Vali Mohamed (tengah, baju putih) bergambar bersama peserta Projek Komuniti YaPEIM (PKY)  Pahang di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Ameer Ali Vali Mohamed (tengah, baju putih) bergambar bersama peserta Projek Komuniti YaPEIM (PKY) Pahang di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM4.32 juta untuk projek bina baharu dan baik pulih rumah menerusi Program Inspirasiku MyHAUS di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah YaPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed, berkata ia membabitkan pembinaan 38 unit rumah dan 44 baik pulih rumah.

Katanya, kos membina rumah baharu berjumlah RM80,000 seunit manakala RM20,000 bagi kos baik pulih setiap unit.

"Pemilihan penerima dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Agama Islam di setiap negeri.

"Dari segi YaPEIM, kita hanya menyediakan peruntukan pembinaan rumah dan baik pulih ini hasil daripada sumbangan orang ramai," katanya selepas merasmikan Projek Komuniti YaPEIM (PKY)Pahang di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin, di sini hari ini.

Beliau berkata, YaPEIM menerusi Program Inspirasiku MyHAUS turut menyalurkan bantuan berjumlah RM120,000 iaitu projek membina sebuah rumah bernilai RM80,000 serta dua rumah yang akan dibaik pulih dengan kos kedua-duanya berjumlah RM40,000.

"Usaha ini akan turut mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi mengesan penerima yang layak menerima manfaat berkenaan," katanya.

Mengulas program PKY Pahang, beliau berkata, YaPEIM memperuntukkan bantuan sumbangan berjumlah RM165,000 bagi membantu mereka yang memerlukan di sekitar daerah Kuantan.

Katanya, PKY Pahang turut mengagihkan bantuan Foodbank kepada 200 penerima berjumlah RM20,000, agihan bantuan Inspirasi Prihatin YaPEIM kepada 20 penerima (RM10,000) dan sumbangan 80 set meja belajar untuk anak-anak B40 serta asnaf berjumlah RM12,000.

"Selain itu, YaPEIM turut menganjurkan program Celik Kendiri kepada kumpulan pelajar di sekitar kawasan Bukit Rangin dengan kos RM3,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 2:38 PM