GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang masih belum menerima bayaran GKP Tambahan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) boleh membuat semakan status pembayaran.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, semakan boleh dibuat melalui Portal GKP di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

Katanya, penerima GKP yang berstatus gagal kredit pula mereka perlu mengemas kini maklumat akaun bank dengan segera bagi membolehkan urusan pembayaran semula dilakukan.

"Urusan pengemaskinian maklumat akaun bank ini boleh dibuat mulai 5 hingga 19 Mei 2021.

"Penerima GKP hendaklah memastikan akaun bank yang dikemas kini adalah akaun yang aktif dan menggunakan nombor akaun simpanan peribadi atau nombor akaun semasa peribadi.

"Penggunaan selain daripada jenis akaun bank berkenaan tidak akan diterima," katanya.

Menurutnya, penerima juga digalakkan membuka akaun bank baharu (Akaun Bank Simpanan peribadi penerima GKP) dan mengemas kini di portal GKP menggunakan nombor akaun baharu berkenaan bagi mengelak masalah gagal kredit berulang.

"Tarikh pembayaran semula GKP Tambahan Permai ke akaun bank yang dikemas kini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 7:35 PM