GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki menyambut hari raya di dalam penjara selepas Mahkamah Majistret Bahau menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan kerana mencederakan isterinya.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Salam Abdullah, 30, dari Felda Palong Dua selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya pada jam 9 malam, 1 Mei lalu di sebuah rumah di Felda Palong Dua.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan isterinya sebelum dia menarik rambut, mencekik leher serta menumbuk bahu kiri mangsa.

Kejadian berlaku selepas isteri tertuduh enggan memberi wang kepada lelaki itu untuk membeli dadah menyebabkan tertuduh berang selain menuduh isterinya curang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 12:43 PM