GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini, selepas didapati bersalah memukul bapanya pada awal bulan ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Rafi Rahman, 31, mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 11 pagi 1 September lalu tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bapanya, Rahman Satar, 68, dengan menumbuk bahu menggunakan tangan di Felda Lui Timur.

Tertuduh sebelum itu mahu meminjam telefon bimbit bapanya, namun mangsa enggan memberinya menyebabkan berlaku selisih faham sebelum tertuduh menumbuk bapanya.

Justeru itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 2:19 PM