GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Akibat mengugut ibu dengan pisau menoreh getah, seorang penoreh getah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Tertuduh, Khairul Anuar Abu Zaharim, 38 dari Felda Palong mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati melakukan ugutan ke atas Nor Hazimah Thani, 65, dengan memegang sebilah pisau menoreh getah sehingga menimbulkan ketakutan kepada mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Felda Palong, jam 1.30 tengah hari, pada 17 September lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Berdasarkan fakta kes, pada masa kejadian, tertuduh memecahkan cermin tingkap dapur ibu menegur perbuatannya itu.

Tertuduh yang berang kemudian bertindak mengancam wanita itu dengan melakukan ugutan sambil memegang pisau menoreh getah.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ladang Geddes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 12:16 PM