Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Bukan mudah masyarakat pada zaman moden untuk menemui kuih tradisional dengan citarasa dan teksturnya sama seperti dibuat orang tua zaman dahulu.

Namun, dua beradik di Kampung Lama, Pokok Sena, di sini mengambil alih legasi perniagaan kuih dangai yang diusahakan bapa mereka termasuk mempelajari cara pembuatannya supaya citarasa dan tekstur sama seperti dihasilkan ketua keluarga itu.

Dangai adalah sejenis kuih diperbuat daripada campuran kelapa parut, tepung pulut, tepung ubi dan gula yang popular dalam kalangan masyarakat di utara semenanjung, namun semakin sukar ditemui.

Melalui kerjasama adik beradik lain serta dorongan bapa, Mohd Faisol Mohamad, 38, dan Mohd Zamri Mohamad, 34, meneruskan perniagaan kuih dangai tradisional yang masih diminati ramai hingga ke hari ini.

Mohd Zamri berkata, dia dan abangnya, Mohd Faisol mengambil alih perniagaan itu sejak dua tahun lalu selepas keadaan kesihatan bapanya, Mohamad Awang, 72, berada dalam situasi tidak menentu ekoran terbabit kemalangan ketika menjala udang.

"Ayah mengusahakan perniagaan kuih dangai ini sejak 1984 dan menjadi sumber pendapatan ayah membesarkan kami lapan beradik.

"Bagaimanapun, kudrat ayah tidak lagi seperti dahulu apabila dia tidak mampu berjalan dengan baik ekoran terjatuh ketika menjala udang sehingga menyebabkan keadaan kesihatannya tidak menentu.

MOHD Zamri (kiri) dibantu Mohd Khair (tengah) bersama Mohamad menunjukkan kuih dangai tradisional dihasilkan mereka. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD
MOHD Zamri (kiri) dibantu Mohd Khair (tengah) bersama Mohamad menunjukkan kuih dangai tradisional dihasilkan mereka. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD

"Ekoran itu, saya dan abang mempelajari cara pembuatan kuih dangai ini daripada ayah dan mengambil alih perniagaan diusahakannya kerana ia masih mendapat permintaan tinggi terutama ketika Ramadan apabila tempahan mencecah tiga kali ganda iaitu lebih 100 biji kepada lebih 400 biji sehari," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, adik bongsunya, Mohd Khair, 31, yang mengusahakan perniagaan dodol menjadi pembantu mereka dalam aktiviti mempromosi dan penjualan kuih yang diberi nama 'Dangai Legend'.

Mohd Khair berkata, kuih dangai dihasilkan dua abangnya mengikut kaedah diajar bapa mereka mendapat permintaan tinggi hingga terpaksa menghadkan tempahan.

Katanya, dia mempromosikan kuih dangai ini melalui platform media sosial dan banyak mendapat tempahan.

"Melalui tempahan dalam talian sahaja setiap hari boleh mencecah 300 biji dan ia tidak termasuk yang dijual di kedai.

"Namun ada masanya kami terpaksa menghadkan tempahan bergantung kepada kuantiti kelapa yang sangat sukar dicari tambahan pula harganya meningkat," katanya.

Mohd Khair berkata, selain dangai berperisa asli, dua abangnya itu turut menghasilkan dangai berperisa jagung yang mendapat permintaan tinggi.

Menurutnya, dia dalam usaha membantu abangnya menghasilkan dangai sejuk beku berikutan terdapat pertanyaan daripada beberapa individu sekitar Kuala Lumpur yang sukar untuk mendapatkan kuih tradisional itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:41 PM