Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kemahiran menghasilkan capal tradisional yang diwarisi daripada arwah bapanya ternyata tidak sia-sia apabila ia mendapat perhatian ramai pemimpin negara yang membuat tempahan, terutamanya menjelang Aidilfitri.

Badril Shahidan Hashim, 41, mengambil keputusan meneruskan legasi arwah bapanya menghasilkan capal tradisional sejak lebih 20 tahun lalu.

Sebelum itu, katanya, arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2011 menguruskan perniagaan membuat capal lebih enam dekad dan ia menjadi sumber pendapatan untuk membesarkan mereka lima beradik.

Mengekalkan nama perniagaan arwah bapanya iaitu 'Capal Jago', Badril Shah berkata, arwah bapanya pernah menghasilkan tempahan capal daripada pemimpin negara.

Ia seperti bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi termasuk ayahandanya, Tun Ahmad Badawi Sheikh Abdullah Fahim.

"Hasil kerja arwah ayah sangat menarik, kemas dan selesa hingga ia menjadi tarikan pemimpin negara pada ketika itu.

"Sejak saya berusia lapan tahun, saya mula memerhatikan selain mempelajari cara arwah ayah membuat capal. Akhirnya, saya dapat membantu arwah ayah secara perlahan-lahan ketika berusia 10 tahun.

"Apabila dia sudah tidak sihat, saya ambil keputusan untuk teruskan legasinya dan kini, sudah lebih 20 tahun saya menguruskan perniagaan ini," katanya ditemui di kedainya di pekan lama Kepala Batas di sini.

Jelasnya, kemahiran yang dipelajari daripada arwah bapanya juga menjadikan perkhidmatan menghasilkan capal yang diusahakannya terus mendapat perhatian pemimpin lain.

"Antaranya yang membuat tempahan adalah bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican," katanya.

Capal dihasilkan turut dipasarkan ke Sabah, Sarawak, Singapura, Brunei dan Thailand.

Mengulas lanjut, Badril Shah berkata, dia sentiasa mengikut rentak perubahan fesyen capal supaya pelanggan tidak jemu dan tertarik untuk menggayakannya terutamanya ketika hari raya.

"Fesyen capal daripada dulu hingga kini memang ada perubahan tetapi daripada segi reka bentuknya, saya masih ikuti cara arwah ayah," katanya.

Harga capal dijual bermula daripada RM160 hingga RM480.

Menceritakan mengenai tempahan raya, Badril Shah berkata, dia hanya mampu menghasilkan 500 pasang capal sahaja atas faktor kekurangan tenaga kerja, masa dan mahu menjaga kualiti.

"Saya tiada pekerja dan hanya melakukannya seorang diri. Saya tidak boleh terima banyak tempahan malah ketika ini, saya hanya tidur sekitar tiga jam demi menyiapkan tempahan.

"Tambahan pula, saya perlu menjaga kualiti penghasilan capal ini," katanya.

Menurutnya, anaknya yang berusia 13 tahun ada menunjukkan minat selain ada kalanya membantu menyiapkan capal.

BADRIL (kanan) melayan pelanggan tetapnya ketika ditemui di premis miliknya di pekan Kepala Batas di sini. FOTO Danial Saad
BADRIL (kanan) melayan pelanggan tetapnya ketika ditemui di premis miliknya di pekan Kepala Batas di sini. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 2:58 PM