NUR Asyikin menjual perisa moden dan tradisional bagi kuih bulan seperti pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona, teh hijau dengan karamel dan coklat dengan beri biru. FOTO BERNAMA
NUR Asyikin menjual perisa moden dan tradisional bagi kuih bulan seperti pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona, teh hijau dengan karamel dan coklat dengan beri biru. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kuih bulan, sejenis manisan tradisional kaum Cina bagi meraikan perayaan pertengahan musim luruh sering dihasilkan dalam empat perisa dominan di pasaran iaitu kacang merah, pes biji teratai, kuning telur masin dan campuran kekacang.

Namun pasangan suami isteri, Nur Asyikin Moham Jafar, 30, dan Ruzaini Azri Rosdi, 31, dari Tapah, Perak yang menjalankan perniagaan kuih bulan sejak 2019 berani melakukan inovasi dengan menampilkan pelbagai perisa baharu yang jarang didapati di pasaran.

Lebih menarik, kuih bulan dihasilkan menerusi jenama Mooncake Halal Syikin mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang kurang manis, rendah kandungan lemak dan bebas bahan pengawet.

Nur Asyikin berkata pihaknya menyediakan lebih 10 perisa tradisional dan moden antaranya pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona, teh hijau dengan karamel dan coklat dengan beri biru namun antara perisa sering mendapat tempahan tinggi daripada pelanggan ialah coklat gelap, coklat karamel dan cip coklat.

"Semua kuih bulan ditawar dalam enam set dengan setiap perisa berbeza bermula daripada RM33 hingga RM40, selain kuih bulan bersaiz mini seberat 25 gram dengan harga RM28 bagi satu balang kaca dengan 15 biji kuih dan saiz besar 100 gram yang berharga RM17 sebiji.

"Saya mahu pelanggan menikmati manisan dengan cara lebih sihat. Setakat ini, kuih bulan saya bukan sahaja digemari pelanggan Muslim, malah pelanggan Cina dan India mengakui keenakannya, sekali gus menunjukkan ada pasaran besar untuk kuih bulan halal," katanya.

Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berkunjung dan menikmati sarapan roti canai di Warung Roti Canai Pak Usop, Kg Sepakat hari ini. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berkunjung dan menikmati sarapan roti canai di Warung Roti Canai Pak Usop, Kg Sepakat hari ini. FOTO BERNAMA

Pada masa sama, Nur Asyikin turut menerima tempahan beg cenderahati berisi kuih bulan untuk majlis perkahwinan atau sebarang majlis lain dengan harga antara RM4 hingga RM5 bergantung kepada perisa jika pelanggan menempah lebih 500 biji ke atas.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini yang menjalankan perniagaan di sebuah bengkel bersebelahan rumah ibu mentuanya di Tapah berkata, kuih bulan dihasilkannya menggunakan minyak kacang bagi memastikan ia halal dimakan.

"Benda paling rumit membuat kulitnya. Untuk bancuh kulit, kita perlukan golden syrup yang dibuat sendiri sebelum dicampur tepung untuk membentuk doh.

"Saya akan bakar kuih bulan hingga tiga kali masing-masing dalam tempoh 12 minit agar hasilnya cantik dan tahan lama," katanya yang mampu menghasilkan 500 kuih bulan dalam sehari.

Bagaimanapun, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat dari Universiti Teknologi Mara ini mengakui permintaan terhadap kuih bulan tidaklah rancak sepanjang tahun, tetapi mula menjadi perhatian setiap kali perayaan kuih bulan pada akhir Ogos hingga September, selain ketika perayaan Tahun Baharu Cina.

"Walaupun ada kuih bulan halal di pasaran, jumlahnya kecil dan sukar dicari terutama di kawasan tertentu. Oleh sebab itu saya dan suami nekad memilih bidang ini," katanya yang merancang mengeluarkan perisa pistasio dan tiramisu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Nur Asyikin bersyukur menerima sokongan penuh suami dan keluarga yang bukan saja memberikan semangat, malah turut sama membantunya menyediakan kuih bulan.

"Ibu mentua tulang belakang kami. Dia bukan sekadar memberi idea mengusahakan perniagaan ini, tetapi menurunkan ilmu membuat kuih bulan mengikut resipi asli kuih itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 7:01 AM