FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Seorang lelaki dan wanita warga China yang bekerja sebagai penjaga premis bitcoin ditahan dalam serbuan di tiga premis itu di Atmosphere 5, Pusat Perdagangan Bandar Putra Permai, di sini, 8 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, hasil maklumat pihaknya bersama pasukan Seal Team Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor menyerbu premis itu yang menjalankan aktiviti melombong bitcoin menggunakan arus elektrik secara haram.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua pekerja warga China berusia 32 dan 38 tahun di mana semakan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Suspek direman sehingga 28 April ini bagi membantu siasatan. Selain itu, polis bersama TNB dalam serbuan kedua memeriksa tiga lagi premis di Jalan Damai 2, Taman Damai Utama, Sabtu lalu kerana menjalankan aktiviti melombong bitcoin menggunakan arus eletrik secara haram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, serbuan itu dijalankan selepas 19 jam membuat pemantauan namun tiada tangkapan dalam serbuan ini.

"Susulan dua serbuan dijalankan itu polis merampas 297 mesin mining dan sembilan blower dengan nilai anggaran rampasan RM100,000.

"Hasil risikan premis terbabit sudah beroperasi selama sebulan dengan memilih rumah kedai atau kawasan pejabat yang sunyi atau kurang dilalui orang awam," katanya.

Beliau berkata, sindiket turut menggunakan beberapa lapis penghadang dinding dan pintu tebal bagi mengelak bunyi kuat keluar dari premis.

"Pihak TNB mengalami kerugian RMN130,000 sebulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan cuai mencuri arus elektrik dan melakukan khianat terhadap harta TNB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 2:43 PM