Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan barang yang dirampas bersabit kes dengan Bitcoin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe menunjukkan barang yang dirampas bersabit kes dengan Bitcoin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. FOTO ASWADI ALIAS
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan sindiket melombong bitcoin dalam tiga serbuan di Country Homes dan Rawang, di sini, pada 9 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Terawe berkata, pihaknya membuat serbuan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam yang curiga dengan bunyi bising di premis berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kami menahan enam lelaki berusia 20 hingga 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga premis itu, kami menemui 131 mesin melombong bitcoin sedang beroperasi. Malah, semua premis itu juga didapati terdapat penyambungan elektrik secara haram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Arifai berkata, siasatan lanjut mendapati aktiviti melombong bitcon itu dipercayai dilakukan di premis berkenaan yang disewa RM1,000 sebulan sejak enam bulan lalu.

"Semua mesin yang beroperasi itu boleh menjana keuntungan hingga mencecah RM11,000 sebulan kepada sindiket berkenaan.

"Difahamkan suspek yang ditahan itu terdiri daripada penjaga serta juruteknik yang dibayar upah antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana curi dan perbuatan khianat serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan mencuri elektrik," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Arifai berkata, sebanyak 934 kompaun dikeluarkan pihaknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 13 Januari lalu hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 127 kompaun yang dikeluarkan bagi tempoh 11 Mac hingga semalam adalah membabitkan jumlah kompaun RM10,000.

"Kebanyakan kompaun dikeluarkan di daerah ini adalah di sekatan jalan raya (SJR) membabitkan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 5:55 PM