Murnaena Muhammad Nasir


Serdang: Tindakan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi kegiatan melombong mata wang kripto bitcoin di tiga premis di daerah ini mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian RM180,000 dalam tempoh dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis bersama dengan kerjasama TNB melakukan serbuan Op Api TNB di tiga premis berkenaan di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai dan Seri Kembangan, di sini, pada 5 November lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya merampas 240 mesin dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 54 tahun di tiga lokasi terbabit untuk siasatan.

Menurutnya, tiga lelaki itu berperanan sebagai penjaga premis dan operator pengendali mesin Bitcoin, manakala wanita berkenaan adalah isteri kepada salah seorang lelaki terbabit.

"Siasatan awal polis mendapati premis berkenaan aktif menjalankan kegiatan melombong bitcoin itu kira-kira dua bulan lalu.

"Difahamkan, suspek mengubahsuai pendawaian elektrik bagi membolehkan penggunakan arus elektrik berkapasiti tinggi dan beroperasi tanpa henti.

SEBAHAGIAN rampasan mesin untuk aktiviti bitcoin dan didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram. FOTO MAHZIR MAT ISA
SEBAHAGIAN rampasan mesin untuk aktiviti bitcoin dan didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram. FOTO MAHZIR MAT ISA

"Bagaimanapun, berdasarkan bacaan meter sindiket hanya RM500 sebulan yang perlu dibayar sindiket berkenaan bagi setiap premis sekali gus menyebabkan TNB mengalami kerugian dianggarkan RM30,000 sebulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada suspek berusia 30-an yang ditahan mempunyai lima rekod jenayah membabitkan kesalahan curi arus elektrik, khianat dan pernah dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan sudah diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Jika kegiatan itu tidak dibanteras, hasil pulangan yang diperoleh sindiket berkenaan mampu mencecah lebih RM17 juta kerana satu mesin boleh menjana 1 bitcoin yang bernilai RM74,000 dalam masa empat bulan," katanya.

Difahamkan, tiga daripada empat suspek berkenaan akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:09 PM