Ramli Ibrahim


Gua Musang: Polis melumpuhkan sindiket curi elektrik bagi kegiatan melombong Bitcoin terbesar di Kelantan dengan menyerbu enam premis sekitar bandar ini.

Dalam serbuan selama dua hari itu, tiga lelaki berusia antara 20 hingga 29 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian elektrik untuk melombong Bitcoin ditahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sindiket curi elektrik bagi aktiviti melombong Bitcoin itu dipercayai mempunyai rangkaian di tempat lain.

"Setakat ini kita kesan mereka (sindiket) berpusat di bandar Gua Musang sebelum serbuan dilakukan. Serbuan itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama JSJ IPD Gua Musang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya mengesan penggunaan arus elektrik yang tinggi di enam premis itu.

"Kegiatan itu kali pertama dikesan di Kelantan dengan modus operandi menyewa premis bangunan sebelum menyambung arus elektrik secara haram," katanya pada sidang media di IPD Gua Musang, di sini, hari ini.

Shafien (dua dari kiri) melihat sebahagian daripada 363 mesin digunakan untuk melombong Bitcoin yang dirampas di enam premis di Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Shafien (dua dari kiri) melihat sebahagian daripada 363 mesin digunakan untuk melombong Bitcoin yang dirampas di enam premis di Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim

Shafien berkata, akibat daripada aktiviti itu yang sudah beroperasi sejak setahun lalu, TNB menanggung kerugian RM2.5 juta kerana arus elektrik dicuri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 363 unit mesin melombong Bitcoin di premis rumah kedai terbabit bernilai RM500,000.

Katanya, tiga suspek ditahan reman sehingga 9 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 1:28 PM