FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Usia sudah menjangkau 71 tahun namun seorang wanita warga emas masih mahu menjalin hubungan istimewa hingga diperdaya sindiket `love scam' membabitkan kerugian RM18,000.

Difahamkan mangsa berkenalan dengan ahli sindiket terbabit melalui laman sosial Facebook pada 27 mac lalu sebelum menjalin hubungan lebih serius.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa kemudiannya meneruskan hubungan menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, suspek memberitahu mangsa kononnya dia akan belayar menaiki kapal kargo ke Jepun kerana terbabit dalam projek membuat landasan kereta api.

"Namun suspek kemudiannya memberitahu mangsa dia ditahan dan dibawa ke Pelabuhan Melaka. Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran bagi membebaskannya.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat pemindahan wang.

Difahamkan anak saudara mangsa bertindak membuat tujuh kali transaksi pembayaran berjumlah RM18,000 ke tiga akaun bank berbeza diberikan suspek.

"Selepas pembayaran itu dilakukan, suspek masih meminta wang dari mangsa atas alasan suspek ditahan pihak kastam kerana membawa sejumlah wang besar. Mangsa sekali lagi meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat pemindahan wang ," katanya tadi.

Bagaimanapun, anak saudara mangsa tidak mengikut arahan itu dan memberitahu bahawa mangsa diperdaya sindiket 'love scam'.

Sehubungan itu, mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak di sini, pada 15 April lalu.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. Justeru JSJK Melaka meminta orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta melalui laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 4:49 PM