Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Mamat

JURUTERA wanita di Ayer Keroh kerugian lebih RM503,000 selepas diperdaya sindiket 'Love Scam'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, wanita terbabit berkenalan dengan suspek yang kononnya tinggal di London melalui Instagram (IG) sejak April lalu.

Menurutnya, hubungan itu kemudiannya semakin mesra dan suspek mendakwa mengalami masalah kewangan kepada mangsa kerana akaun pelaburannya disekat pihak bank.

"Atas dasar simpati dan percaya, mangsa bersetuju meminjamkan wang dan suspek berjanji akan memulangkan semula wang berkenaan.

"Bermula pertengahan April sehingga Jun, mangsa memberi pinjaman wang berjumlah RM503,937 kepada suspek melalui tujuh akaun bank berbeza," katanya.

Sundra berkata, mangsa mula berasakan dirinya ditipu satu sindiket selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai kastam.

"Melalui panggilan itu, dia diminta membayar sebanyak RM175,000 bagi melepaskan parcel miliknya yang ditahan pihak kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mangsa yang curiga kemudiannya sebelum membuat laporan polis untuk diambil tindakan lanjut.

"Justeru, pihak polis meminta orang ramai supaya berhati-hati ketika dalam melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali serta terlebih dahulu menyemak nombor akaun yang meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:28 PM