GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jadikan ibu tunggal sebagai sasaran 'cinta palsu' dan aktiviti mengikis wang. Itu antara aktiviti jenayah seorang lelaki warga Nigeria yang diberkas polis selepas memperdaya seorang wanita membabitkan kerugian lebih RM78,200.

Suspek berusia 38 tahun bagaimanapun berjaya dijejaki dan diberkas polis Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek ditahan sepasukan polis JSJK Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Alor Gajah di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, kira- kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan `Love Scam' dan menggunakan nama Mahmudin Jafaardi Facebook.

"Siasatan mendapati dia dipercayai menjalankan aktiviti itu bersama rakan lain. Usaha mengesan individu lain sedang dijalankan polis.

"Semakan mendapati suspek tinggal di negara ini sejak Mac tahun lalu dan dia menggunakan pas lawatan sosial," katanya.

Beliau berkata, polis merampas tiga telefon bimbit, 14 keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank yang didaftarkan atas nama individu lain, sampul kurier, pasport dan juga sebuah iPad.

"Semakan ke atas pas lawatannya juga mendapati ia sudah tamat tempoh dan suspek tinggal lebih masa di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang guru agama kerugian lebih RM78,000 selepas diperdaya lelaki yang baru dikenali melalui Facebook akhir bulan lalu.

Mangsa berusia 49 tahun terpedaya selepas dijanjikan suspek untuk memberinya hadiah perkenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:48 PM