JENAZAH Prebet Adam yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato Keramat, di sini, di sebelah kubur ibu dan bapanya. FOTO ihsan keluarga Hawa
JENAZAH Prebet Adam yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato Keramat, di sini, di sebelah kubur ibu dan bapanya. FOTO ihsan keluarga Hawa
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Kami harap orang ramai dapat mendoakan abang dan jangan komen negatif sehingga mengguris hati keluarga yang baru kehilangan insan tersayang," kata Hawa Jaafar.

Adik kepada Allahyarham Adam atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam itu berkata, abangnya meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Hawa, 56, ketika ditemui berkata, keluarganya sudah kerap diaibkan termasuk difitnah apabila mengaitkan abang sulungnya itu dengan pihak tertentu atas kepentingan sendiri tanpa memikirkan akibat yang ditanggung.

Menurutnya, kematian abangnya terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga selesai pengebumiannya kerana bimbang 'dipergunakan' atas kepentingan individu tertentu.

"Saya tak mau ulas apa (kejadian) yang berlaku sebelum ini. Cukuplah 33 tahun kami sekeluarga menanggung fitnah dan kini Prebet Adam pun sudah tiada, saya harap cerita berkaitan arwah dihentikan.

"Hanya keluarga saja tahu hal sebenar berkaitan arwah abang dan jangan percaya cakap siapa pun selain adik-beradik kandungnya.

"Dulu Prebet Adam masih ada, sekarang ini kami sudah kehilangannya. Jadi tolong bagi ruang untuk kami (keluarga) tenang serta hidup aman, jangan asyik nak kecam," katanya.

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, Prebet Adam sudah tiada untuk sesiapa memohon maaf atas keterlanjuran kata serta fitnah yang ditaburkan.

"Sudah-sudahlah buka aib dan kecam arwah abang Adam yang kini sudah kembali kepada penciptaNya.

"Henti kecam dan aibkan abang (Adam) serta keluarga. Kami akan ambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mengambil kesempatan mengaitkan nama Prebet Adam," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato Keramat di sini, di sebelah kubur ibu dan bapanya.

Nama Prebet Adam pernah menggemparkan negara berikutan insiden mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1987.

Berita Berkaitan

  • Prebet Adam meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 5:11 PM