Jenazah Balu kepada Mufti Perak,Puan Sri Ainon Abdul Ghani Selamat di kebumikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat dekat Ipoh. FOTO  L MANIMARAN
Jenazah Balu kepada Mufti Perak,Puan Sri Ainon Abdul Ghani Selamat di kebumikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat dekat Ipoh. FOTO L MANIMARAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Mungkin kerana rindu... mak sering ternampak bayangan arwah abah keluar masuk rumah," kata Ahmad Wafi yang juga anak kepada Allahyarham bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Ibu Ahmad Wafi, Puan Seri Ainon Abdul Ghani, disahkan meninggal dunia semalam, dan balu kepada bekas Mufti Perak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini, jam 11.25 pagi tadi.

Ahmad Wafi berkata, daripada air muka dan gaya bercakap, mereka mengetahui arwah ibu mereka itu sebelum ini sunyi dan sangat rindu kepada arwah bapa.

"Mak bukan suka mengadu tetapi kami dapat melihat dia berasa kesunyian.

"Kerap kali dia bercakap kepada saya dan adik-beradik yang lain yang dia ada nampak arwah abah berada di luar dan baru masuk ke rumah, dari situ kita tahu dia rindu dan teringat pada arwah abah," katanya.

Beliau berkata, tahap kesihatan ibunya semakin merosot sejak pemergian arwah bapanya dan abangnya tahun lalu.

"Ibu di diagnosa menghidap barah paru-paru tahap empat tetapi selepas menerima rawatan, keadaan kesihatannya semakin baik dan pulih.

"Tetapi keadaan kesihatan ibu agak merosot selepas kematian bapa dan abang, mungkin semangatnya kurang," katanya.

Beliau berkata, tahap kesihatan arwah semakin merosot sejak dua bulan lalu sehingga hanya boleh mengambil makanan menerusi tiub.

"Dua hari sebelum pemergian, ibu demam, tekanan darah dan oksigen menurun. Pagi semalam, kakak bawa ibu ke Kinta Medical Centre untuk pemeriksaan kesihatan.

"Namun, apabila tiba di sana, keadaan kesihatan ibu semakin merosot dan kira-kira jam 2.50 petang, ibu menghembuskan nafas terakhir.

"Berdasarkan laporan, ibu meninggal dunia mungkin ada kaitan dengan kesan daripada barah paru-parunya yang turut membuatkan badannya lemah," katanya.

Ahmad Wafi yang juga anak bongsu mengakui cukup sedih dengan kehilangan tiga ahli keluarga dalam tempoh masa sekejap namun tetap tabah dan rela dengan pemergian insan tersayang.

"Kami memang sangat sedih kehilangan ibu, bapa dan abang sulung saya, namun perancangan Allah SWT itu lebih baik. Kami melihat bagaimana mereka menderita kerana keadaan kesihatan.

"Ia takdir Tuhan. Sedih tetap sedih tetapi pada masa sama, kami bersyukur penderitaan mereka sudah berakhir dan Insya-Allah, mereka ditempatkan di tempat lebih baik," katanya.

Pada 30 Mei tahun lalu, Harussani, 82, meninggal dunia akibat Covid-19 diikuti anak sulungnya, A Abdul Hakim Mazhar, 54, yang turut meninggal dunia akibat pandemik terbabit, tiga bulan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 2:54 PM