GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membuat semakan dan mengembalikan semula wang lebihan, kepada penuntutnya yang terbabit dengan isu pemotongan yuran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kadar segera.

UTM menerusi kenyataan menjelaskan, hal ini kerana terdapat ralat ke atas data potongan yuran yang dibuat, yang mana terdapat sebahagian pelajar telah dibuat potongan secara maksimum daripada jumlah pembiayaan pinjaman dan hanya baki iaitu sejumlah RM100 yang didepositkan ke akaun Bank Islam pelajar.

Katanya, semakan akan dibuat Jabatan Bendahari dan wang lebihan akan dikembalikan semula dalam tempoh terdekat, selepas mendapat maklumat potongan daripada Bank Islam.

"Pihak UTM telah mengambil langkah untuk membuat semakan dan proses pemulangan dengan kadar segera ke akaun bank pelajar yang terlibat.

"Pelajar dijangka akan mendapat semula baki tersebut dalam masa terdekat, dijangka Isnin minggu hadapan," menurut yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, pembiayaan pinjaman PTPTN bagi kelompok pertama semester dua telah didepositkan ke akaun Bank Islam pelajar pada 23 Mac lalu.

Sehubungan itu, penuntut yang terkesan ekoran daripada ralat potongan yuran berkenaan, diminta untuk mengisi 'Google Form' yang disediakan untuk semakan dan tindakan lanjut pihak UTM.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi emel [email protected] atau [email protected], [email protected] dan [email protected].

Baru-baru ini, isu berkenaan pemotongan yuran itu diluahkan segelintir penuntut universiti berkenaan menerusi media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 5:33 PM