MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) melancarkan aplikasi myPTPTN sambil diperhatikan oleh Ahmad Dasuki (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) melancarkan aplikasi myPTPTN sambil diperhatikan oleh Ahmad Dasuki (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Aplikasi mudah alih myPTPTN dengan tagline mudah, cepat dan selamat yang dilancarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini memudahkan urusan 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) di seluruh negara.

Aplikasi dibangunkan ini juga selari dengan Teras ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa di tahap yang terbaik.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, idea pembangunan aplikasi ini sebenarnya tercetus sebelum pandemik Covid-19 lagi selain ia inisiatif utama PTPTN sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

"Kami di PTPTN sentiasa memikirkan yang terbaik untuk peminjam dan pendeposit Simpan SSPN supaya walau apa yang berlaku, kami sentiasa boleh dihubungi.

"Dengan adanya aplikasi ini, ia akan mengintegrasikan seluruh kemudahan dalam satu sistem yang memberi kemudahan dan manfaat kepada pelanggan PTPTN," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kelebihan aplikasi itu berbanding portal biasa, Ahmad Dasuki berkata, myPTPTN menawarkan pelbagai kelebihan kepada pelanggan terutama dari segi memperoleh maklumat terkini dengan cepat dan mempunyai ciri keselamatan berbanding laman web.

Katanya, pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO).

"Aplikasi myPTPTN ini akan menyalurkan maklumat atau pemberitahuan kepada pelanggan dengan kadar lebih cepat melalui push notification di inbox yang terdapat dalam aplikasi.

"Antaranya, makluman tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP), makluman kelulusan pinjaman dan makluman tarikh bayaran pinjaman dikreditkan ke dalam akaun bank pelajar.

"Kemudahan ini sangat bermanfaat kepada pelajar yang sememangnya sentiasa menantikan berita baik dari PTPTN mengenai pinjaman mereka," katanya.

Menurutnya, jika dahulu pelanggan ingin membuat semakan penyata pinjaman atau simpanan, mereka perlu membuka portal PTPTN atau menghubungi Careline untuk semakan.

"Adakalanya, kami menerima jumlah panggilan yang tinggi dan menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lama di talian.

"Jadi, dengan myPTPTN pelanggan boleh membuat semakan penyata di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Pelanggan juga tidak perlu bergegas, beratur dan berkumpul di pejabat PTPTN secara fizikal," katanya.

Antara perkhidmatan disediakan dalam aplikasi myPTPTN termasuk urusan pembayaran balik pinjaman dan penambahan deposit Simpan SSPN, pembukaan akaun Simpan SSPN, Semakan Penyata, Pindahan Lebihan Bayaran Balik, Pindahan Simpanan, Permohonan Bayaran Balik/Deposit Simpan SSPN melalui Debit Terus, Potong Gaji dan Auto Debit, Permohonan Pengesahan Baki Pinjaman, cetakan surat penyelesaian hutang (SPH), mengemas kini profil pengguna, push notification dan akaun kegemaran.

Bagi mengakses ke aplikasi myPTPTN ini, terdapat dua kaedah disediakan iaitu pertama dengan memuat turun di telefon mudah alih melalui platform pengedaran digital iaitu App Store, Play Store dan Huawei AppGallery atau melayari laman sesawang https://myptptn.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut.

Dari segi keselamatan pula kata Ahmad Dasuki, myPTPTN dilindungi serta dilengkapi dengan pendaftaran maya eKYC (Electronic Know Your Customer) iaitu proses mengesahkan dan mengekalkan rekod identiti pelanggan yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia sebagai salah satu kunci keselamatan transaksi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 7:01 AM