SHAMSUL Anuar (tengah) bersama penerima sumbangan anugerah cemerlang. Turut sama Exco Perak, Datuk Saarani Mohamad (empat kiri, baris kedua). FOTO Muhaizan Yahya.
SHAMSUL Anuar (tengah) bersama penerima sumbangan anugerah cemerlang. Turut sama Exco Perak, Datuk Saarani Mohamad (empat kiri, baris kedua). FOTO Muhaizan Yahya.
Oleh D J Dolasoh


Lenggong: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan bertemu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) minggu depan bagi membincangkan had maksimum pemotongan gaji bulanan kakitangan awam yang gagal membayar pinjaman.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya sebelum ini memberi tempoh sehingga 18 Januari ini kepada 3,193 kakitangan awam terbabit supaya datang berunding dan boleh membuat penstrukturan semula hutang dengan amaun ansuran berasaskan kemampuan.

Menurutnya peminjam terbabit sepatutnya dikenakan potongan gaji mandatori bermula 4 Disember 2015 lalu yang dimaklumkan melalui surat kepada majikan masing-masing dan peminjam terbabit sendiri, namun CUEPACS meminta membuat pembatalan pemotongan itu.

Shamsul Anuar berkata, pihak PTPTN tidak mengambil tindakan terburu-buru mengenai pemotongan gaji mandatori tehadap 3,193 kakitangan awam terbabit seperti didakwa CUEPACS kerana pelbagai maklumat dan amaran telah dikeluarkan sebelum ini kepada mereka.

“Saya berharap, pihak CUEPACS bersetuju untuk berjumpa dengan kami untuk berbincang masalah mengapa potongan gaji berkenaan tidak wajar dilakukan dan bagi menyelesaikan masalah supaya peminjam terbabit dapat membayar balik pinjaman mereka.

“Jika pihak CUEPACS enggan berbincang dan kakitangan awam terbabit terus enggan membayar atau tidak mahu berjumpa PTPTN, peminjam terbabit akan dikenakan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Lenggong kepada 100 pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dataran Lenggong, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 5:41 PM