GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan tiga skim diskaun bayaran balik pinjaman bermula 1 November hingga 30 April 2022.

Langkah itu dilaksanakan selepas persetujuan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

Menerusi kenyataan akhbarnya, PTPTN menjelaskan bahawa perbadanan berkenaan menyediakan skim diskaun bayaran balik sekali gus dapat dimanfaatkan oleh peminjam.

"Untuk skim pertama, diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang bagi penyelesaian penuh pinjaman manakala untuk skim kedua diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

"PTPTN juga menyediakan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

"Pelaksanaan pemberikan diskaun bayaran balik merangkumi peminjam yang hendak membuat penyelesaian penuh atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran perlu mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal PTPTN," katanya.

Menurutnya, semakan baki itu boleh dibuat bermula 1 November ini dan bayaran balik boleh dibuat melalui mana-mana saluran bayaran yang disediakan oleh PTPTN.

Katanya, bagi peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus hendaklah membuat permohonan secara talian.

"Bagi potongan gaji, mereka perlu membuat permohonan menerusi pautan https://www.ptptn.gov.my/potonggajionline/ manakala untuk debit terus di https://www.ptptn.gov.my/direct_debit/direct_debit.html.

"Mereka layak mendapatkan diskaun 10 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima oleh PTPTN bermula 1 November hingga 30 April 2022.

"Insentif diskaun akan dikemaskini di dalam akaun pinjaman pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata masing-masing mulai tujuh haribulan pada bulan yang berikutnya," katanya.

Pada masa sama, PTPTN mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas persetujuan untuk pemberian insentif diskaun bayaran balik kepada peminjam PTPTN dalam Belanjawan 2022.

Katanya, insentif diskaun bayaran balik yang diumumkan ini akan memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam sekali gus menunjukkan kerajaan dan PTPTN sentiasa prihatin kepada peminjam PTPTN terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:31 PM