Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM15 juta bagi skim bantuan modal perniagaan, Musaadah Tijariyahiaitu iaitu inisiatif di bawah Program Transformasi Asnaf Jaya Baitulmal MAIWP (PROTAJ) yang dilancarkan bagi membantu asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, skim itu dijangka memberi manfaat kepada 5,000 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan setiap pemohon yang layak akan menerima bantuan maksimum RM3,000 setiap seorang.

Beliau berkata, permohonan untuk mendapatkan skim bantuan Musaadah Tijariyyah dibuka bermula hari ini hingga 5 April depan dan ia tidak mensyaratkan pemohon memiliki sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selama enam bulan, sebaliknya memadai dua bulan saja.

"Skim ini diwujudkan khusus untuk asnaf yang merancang memulakan perniagaan, tetapi tidak mempunyai modal.

"Ia terbuka kepada semua asnaf di Wilayah Persekutuan tidak kira yang berasal dari sini (Kuala Lumpur) atau bermastautin di sini.

"Mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian di laman web MAIWP atau menerusi kaunter Baitulmal MAIWP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran PROTAJ di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Ikon Usahawan Asnaf Baitulmal kepada tujuh usahawan pelbagai bidang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Mohd Daud berkata, pemohon yang layak dan diluluskan permohonannya dijangka menerima bantuan skim berkenaan selepas April nanti.

Katanya, sebagai nilai tambah, penerima skim itu akan diberi kursus asas keusahawanan untuk membimbing dan membantu mereka membuat persediaan serta perancangan sebelum memulakan perniagaan.

"Kami cuba wujudkan komuniti MAIWP dan satu ekosistem yang menyediakan laluan jelas buat asnaf berkenaan.

"Sekiranya benar-benar berjaya, kami akan ubah kepada skim lain untuk bantuan lanjut dengan harapan mereka dapat membuka syarikat besar seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada asnaf lain," katanya.

Di samping bantuan perniagaan, Mohd Daud berkata, MAIWP turut memperkenalkan Bantuan Latihan Kemahiran Industri sebagai salah satu inisiatif di bawah PROTAJ dengan peruntukan sebanyak RM 1.43 juta.

Katanya, bantuan itu dilaksanakan dengan jalinan kerjasama enam pemain industri dalam pelbagai bidang antaranya pembinaan bangunan, kimpalan, elektrik, automotif dan penerbangan membabitkan 70 penuntut yang akan mengikuti kursus antara dua hingga 24 bulan.

"MAIWP mahu memperluaskan bantuan, bukan sekadar dalam bentuk biasiswa pendidikan saja, tetapi penyediaan latihan kemahiran industri yang menjanjikan peluang pekerjaan secepat mungkin.

"Ini kerana tidak ada kesan kalau ada ijazah dalam keluarga asnaf, tetapi tiada pekerjaan," katanya.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar (tengah) merasmikan Musaadah Tijariyyah pada Program Transformasi Asnaf Jaya Baitulmal MAIWP (PROTAJ) di Bangunan PERKIM. FOTO AZIAH AZMEE
Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar (tengah) merasmikan Musaadah Tijariyyah pada Program Transformasi Asnaf Jaya Baitulmal MAIWP (PROTAJ) di Bangunan PERKIM. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:25 PM