DARI kiri, Mohd Nizam, Dr Yusri, Idris, Mohd Redza Shah dan Mohd Ridzal ketika perasmian Program Musa’adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM, semalam. FOTO Saifullizan Tamadi
DARI kiri, Mohd Nizam, Dr Yusri, Idris, Mohd Redza Shah dan Mohd Ridzal ketika perasmian Program Musa’adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM, semalam. FOTO Saifullizan Tamadi
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Komited dalam melaksanakan program agihan zakat dengan matlamat untuk mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM3 juta dengan menyasar 1,000 penerima menerusi program Musa'adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, kesan daripada pandemik Covid-19 berpanjangan menyebabkan kesukaran kepada usahawan untuk bangkit semula tanpa adanya sokongan modal.

Justeru, katanya, sebagai tanda prihatin, MAIWP meneruskan Musa'adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM yang juga manifestasi kesungguhan MAIWP membantu asnaf bukan sahaja sekadar memberi bantuan bahkan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan akhirnya menjadikan mereka pembayar zakat.

"Sebagai nilai tambah kepada bantuan modal diberi, penerima inisiatif diberikan kursus transformasi minda yang menjadi syarat sebelum bantuan disalurkan.

"Ini antara cara mereka membuat persediaan sebelum memulakan perniagaan serta menambah ilmu dalam perniagaan.

"Oleh itu, saya harap bantuan ini dapat membantu usahawan untuk terus bangkit dan berusaha," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di sini, semalam.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mahadi Sukarno, Ahli MAIWP Dr Yusri Mohamad, Ketua Pengarah YaPEIM Mohd Ridzal Sheriff dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Musa'adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM adalah program kedua anjuran MAIWP selepas program pertama dilancar Mac lalu mendapat sambutan menggalakkan dan berjaya menyantuni 1,057 usahawan dengan jumlah keseluruhan RM3.17 juta.

Bagi memastikan program ini mencapai matlamat, MAIWP berkolaborasi bersama YaPEIM bagi mengendalikan kursus Transformasi Minda kepada usahawan sekali gus mengenal pasti asnaf berpotensi untuk terus digilap menerusi program Inspirasipreneur YaPEIM.

Idris berkata, kerjasama strategik sebegini amat diperlukan dan menyeru sinergi itu diteruskan bukan sahaja dengan YaPEIM, tetapi juga dengan agensi serta rakan badan bukan kerajaan (NGO) lain supaya tanggungjawab membantu masyarakat menjadi satu tanggungjawab bersama demi menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.

"Saya menyeru lebih ramai rakan NGO, rakan korporat dan industri mahupun individu untuk bersinergi dengan MAIWP yang pastinya akan dapat memberi impak yang lebih besar.

"Saya menyeru kepada semua penerima dapat menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat. MAIWP pengantara untuk mengagihkan zakat yang dibayar dan penghargaan anda khususnya di media sosial pasti didengari pembayar zakat seterusnya mendorong mereka terus membayar zakat," katanya.

Idris juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP.

"Tanpa komitmen mereka bayar zakat, sudah tentu program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dibuat secara optimum dan menyeluruh," katanya.

IDRIS (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek bantuan asnaf Musa’adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM kepada wakil penerima Ahmad Fitri Ahmad Tarmizi. FOTO Saifullizan Tamadi
IDRIS (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek bantuan asnaf Musa’adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM kepada wakil penerima Ahmad Fitri Ahmad Tarmizi. FOTO Saifullizan Tamadi

Sementara itu, penerima Azfah Zaidi, 43, berkata, bantuan diterima memberikannya semangat dan motivasi baru untuk terus bangkit serta memajukan perniagaannya.

Katanya yang mengusahakan kedai jahit pakaian wanita Jaja AD Collections selama sembilan tahun berniaga, dua tahun ini memang menduga dan kemuncaknya pada Jun lalu apabila dia langsung tidak memperoleh pendapatan.

"Sebagai tukang jahit, pendapatan saya bergantung kepada tempahan pelanggan. Sepanjang pandemik tempahan semakin kurang dan pada Jun lalu, saya tidak menerima sebarang tempahan sekali gus kehilangan pendapatan.

"Keadaan itu beri kesan kepada saya. Walaupun kini tempahan mulai diterima namun jumlahnya sedikit dan tidak mencukupi.

"Justeru, bantuan ini cukup bermakna buat saya untuk meneruskan kehidupan dan bangkit kembali," katanya.

Mengulas mengenai program Musa'adah Tijariyyah 2.0 MAIWP dan Inspirasipreneur YaPEIM ini kata Azfah, ia inisiatif bermanfaat kepada peniaga terutama golongan asnaf.

"Program ini bukan hanya memberikan modal tetapi ia berserta dengan ilmu dalam perniagaan yang cukup bermakna serta motivasi untuk bangkit kembali selepas berhadapan dengan dugaan.

"Oleh itu, saya akan gunakan sebaiknya modal diberi untuk melengkapkan peralatan menjahit selain menjadi modal pusingan untuk mengimport kain.

"Ilmu yang diperoleh dari kursus ini saya akan manfaatkan sebaiknya untuk memajukan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 6:45 AM