AHMAD Saifuddin (lima kiri) bersama usahawan asnaf yang menerima bantuan zakat pada Majlis Agihan Zakat CBP Musa'adah kepada usahawan asnaf di Bangunan Perkim. FOTO Genes Gulitah
AHMAD Saifuddin (lima kiri) bersama usahawan asnaf yang menerima bantuan zakat pada Majlis Agihan Zakat CBP Musa'adah kepada usahawan asnaf di Bangunan Perkim. FOTO Genes Gulitah
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan lebih 700 usahawan asnaf di bawah programnya akan keluar daripada garis kemiskinan menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP, Ahmad Saifuddin Md Tahir berkata, tahun lalu seramai 1,500 usahawan asnaf dibantu menerusi program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan.

Katanya, daripada jumlah itu, lebih 80 usahawan asnaf sudah berjaya keluar daripada garis kemiskinan dan berada di peringkat 'expert' dengan nilai jualan lebih RM10,000 sebulan.

"Kebanyakan usahawan ini semua ramai masih di peringkat 'beginner' iaitu jualan di bawah RM5,000 sebulan, manakala bagi 'middle' pula nilai jualan mereka perlu mencecah lebih RM5,000 dan 'expert' melebihi RM10,000 sebulan.

"Kami bahagikan usahawan asnaf kepada tiga kategori (beginner, middle dan expert) supaya MAIWP dapat menyediakan program khusus untuk peringkat masing-masing.

"Untuk 'beginner', Maiwp akan beri latihan asas keusahawanan bagaimana hendak memulakan perniagaan, memohon lesen dan asas perakaunan.

"Memandangkan, masih ramai lagi di peringkat permulaan, kami komited untuk mengeluarkan kira-kira 700 usahawan asnaf ini keluar dari garis kemiskinan dengan perolehan jualan antara RM5,000 ke RM10,000 sebulan," katanya di Majlis Agihan Zakat Co-opbank Pertama (CBP) Kepada Usahawan Asnaf MAIWP di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Lembaga Koperasi CBP, Datuk Shaharuddin Mohd Sa'ad berkata, CBP menjalinkan kerjasama dengan MAIWP bagi membantu usahawan asnaf di sekitar Kuala Lumpur menerusi Agihan Zakat CBP Musa'adah berjumlah RM60,000.

Katanya, seramai 12 penerima dikenal pasti oleh MAIWP untuk menerima zakat terbabit.

"Setiap usahawan menerima agihan zakat sebanyak RM5,000 seorang dengan jumlah agihan adalah sebanyak RM60,000 dan semoga bantuan zakat yang diserahkan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima untuk memajukan lagi perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata, CBP sudah mengagihkan wakalah zakat berjumlah RM512,000 menerusi Program CBP Mahabbah yang menyasarkan golongan asnaf berkelayakan.

Menurutnya, bagi Fasa 1 dan Fasa 2, jumlah wang agihan zakat ini merangkumi lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 2:45 PM