Idris Ahmad
Idris Ahmad
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mensasarkan pungutan zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sebanyak RM162 juta zakat sudah dikutip bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Menurutnya, ia meningkat 12 peratus berbanding RM145 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Saya yakin dan percaya jika jumlah kutipan zakat terus meningkat dan perniagaan pembayar zakat dimurahkan rezeki, tidak mustahil dengan sasaran RM1 bilion.

"Wang diberikan kepada PPZ-MAIWP diagihkan secara telus dan baik," katanya dalam sidang media pada Majlis Iftar Bersama Asnaf di Balai Felda di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, Idris berkata, MAIWP menyalurkan bantuan Aidilfitri berjumlah RM24.4 juta kepada 30,970 asnaf bagi meringankan beban golongan terbabit menyambut perayaan itu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 30,300 asnaf menerima bantuan berjumlah RM800 manakala 670 pelatih Dar-Saadah, pelajar Darul Kifayah dan Institut Kemahiran Baitulmal menerima bantuan RM300.

Dalam majlis berkenaan, MAIWP turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 dan barangan makanan kepada penerima bantuan yang disumbangkan oleh pemegang wakalah individu dan syarikat.

"Tanpa ada komitmen pembayar zakat, sudah tentu program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dibuat secara optimum, maksimum dan menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:38 PM